Imej hiasan |
Esok genap seminggu rakyat Malaysia menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi memilih wakil rakyat yang mereka harapkan dapat memacu negara lebih gemilang untuk tempoh lima tahun lagi.
Namun, apa yang diimpikan bukanlah semudah memangkah di kertas undi, sebaliknya cabaran bermula apabila tiada gabungan parti yang bertanding sama ada Pakatan Harapan (PH), Perikatan Nasional (PN) atau Barisan Nasional (BN) mempunyai majoriti mudah untuk membentuk kerajaan.
Akhirnya, tanggal 24 November 2022 menyaksikan Datuk Seri Anwar Ibrahim diumumkan sebagai Perdana Menteri Malaysia ke-10 selepas lima hari rakyat tertanya-tanya siapakah yang bakal menerajui negara.
Apa yang menarik, sepanjang kemelut penubuhan kerajaan dan pelantikan Perdana Menteri ini, ia telah membuka minat bukan sahaja orang-orang dewasa, malah dalam kalangan murid sekolah mengenai sejarah negara serta perkembangan politik tanah air.
Anak penulis sendiri yang berusia 10 tahun pun setiap pagi rajin bertanyakan soalan.
"Siapa PM (Perdana Menteri) kita? Siapa yang akan jadi PM nanti?" Tak pernah soalan sebegini ditanyakan kepada ibunya.
Bukan itu sahaja, ada juga cikgu-cikgu sekolah yang menceritakan perkara sama apabila pelajar kelas menengah rendah sudah mula minat mengetahui lebih lanjut apa kesudahan kemelut politik yang melanda negara ketika ini.
Malah, ada juga pelajar yang mula minat mempelajari subjek Sejarah, membelek fakta-fakta berkaitan penubuhan negara, juga bab Perlembagaan yang berkait rapat dengan perpaduan antara pelbagai kaum di negara ini.
Kalau dahulu mereka tidak kisah siapa Perdana Menteri yang pernah mentadbir negara, kini senarai tersebut sudah ada dalam kepala mereka. Kalau dahulu tidak tahu bagaimana proses Pilihan Raya Umum (PRU) berlangsung, kini sudah mula bertanya ibu bapa dan mencongak umur masing-masing, tidak sabar untuk merasai pengalaman mengundi buat pertama kali.
Kalau dahulu, murid-murid sekolah langsung tidak memahami dan ambil perhatian mengenai Perlembagaan Persekutuan dan Rukun Negara, kini sedikit sebanyak sudah mengetahuinya.
Mungkin itu juga salah satu hikmah di sebalik kemelut yang melanda negara ketika ini. Nampaknya golongan pelajar yang sebelum ini boleh dikatakan tidak peka, kini semakin celik gara-gara lanskap politik negara yang sedikit panas dalam seminggu ini.
Negara stabil, rakyat harmoni
Bagaimanapun, di sebalik semua itu, kepincangan lanskap politik negara juga memberikan sisi gelap yang tidak seharusnya menjadi tontonan generasi pada hari ini. Kestabilan negara boleh diibaratkan seperti negara kita adalah pokok dan rakyat ibarat akar. Pokok tidak akan berdiri kukuh tanpa akar, begitu juga negara kita.
Jika semua mengutamakan nilai perpaduan, keamanan dan kestabilan negara pasti akan terjamin. Sedikit kepincangan, boleh menyebabkan perpecahan antara kaum.
Oleh itu, jangan gadai keamanan yang kita ada demi kepentingan pihak-pihak tertentu yang akhirnya rakyat menjadi mangsa.
Sudah tiba masanya, tidak hanya rakyat jelata tetapi lebih mustahak pemimpin tidak kira parti politik mana sekali pun perlu kembali mengasah pusaka perpaduan agar negara yang dipimpin hari ini kukuh untuk diwarisi anak bangsa di masa hadapan.
Kepimpinan melalui teladan harus dibajai semula walaupun di negara kita konsep itu kadang kala vice versa kerana masih ada pemimpin yang suka kutuk-mengutuk, caci- mencaci, jatuh-menjatuhi, benci- membenci serta hentam-menghentam.
Kita sudah hampir ke tahun 2023 dan diharap kerajaan baharu yang bakal dibentuk nanti mampu memacu negara ke arah lebih gemilang. Lebih-lebih dunia dijangka menghadapi ekonomi lebih mencabar pada tahun depan.
Tidak kira sama ada kerajaan atau pembangkang, mereka semua membawa suara rakyat. Bagi wakil rakyat yang sudah diberi kepercayaan pada PRU15 lalu, berkhidmatlah dengan penuh amanah dan integriti. Paling penting, jangan sesekali terlibat dengan rasuah.
Sewajarnya pemimpin hari ini harus sedar apa juga tindakan mereka bisa memberi kesan kepada generasi akan datang.
Semoga pelantikan Anwar sebagai Perdana Menteri ke-10 membuka lembaran baharu untuk negara pada masa hadapan.
Wan Rosida Wan Hamad ialah Editor Pengisian Sinar Online