SALAH seorang pelajar yang cedera selepas motosikal mereka bertembung sebuah van di Jalan Kampung Masjid, Jeneri, Sik. |
SIK: Dua beradik cedera parah selepas motosikal dinaiki mereka melanggar sebuah van di Jalan Kampung Masjid di Jeneri, di sini, pagi tadi.
Kejadian kira-kira pukul 7 pagi itu berlaku ketika dua pelajar lelaki berusia 13 dan 17 tahun terbabit dalam perjalanan ke Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jeneri.
Penunggang motosikal cedera di dada dan kepala, manakala adiknya dipercayai patah pergelangan tangan kiri.
Ketua Polis Daerah Sik, Deputi Superintenden Abdull Razak Osman berkata, kejadian berlaku ketika dua pelajar itu dalam perjalanan dari rumah mereka di Kampung Kura ke sekolah dengan menaiki motosikal jenis Honda C100.
“Motosikal dinaiki dua beradik itu melanggar sebuah van yang sedang membelok keluar dari kawasan rumah ke jalan besar. Kejadian mengakibatkan penunggang motosikal melambung dan tercampak ke atas jalan manakala adiknya terjatuh di bahu jalan,” katanya di sini hari ini.
Katanya, mereka kemudian dikejarkan ke Hospital Sik menggunakan ambulans Briged Sukarelawan Yayasan Jariah Sik.
“Penunggang motosikal seterusnya dirujuk ke Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH), Sungai Petani untuk rawatan lanjut,” ujarnya.
Menurutnya, pemandu van berusia 67 tahun dan anak perempuan berusia 17 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan.
Tambahnya, semakan mendapati pelajar itu tidak mempunyai lesen memandu dan kedua-dua mereka tidak memakai topi keledar. Kes disiasat di bawah Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – UTUSAN