1 guru 1 komputer riba jika PN menang PRU-15

RADZI Jidin semasa sesi dialog di majlis pelancaran manifesto PN di Shah Alam, Selangor. - UTUSAN/MUHAMAD IQBAL ROSLI


SHAH ALAM: Perikatan Nasional (PN) akan menyediakan komputer riba kepada semua guru bagi memudahkan golongan pendidik itu sebagai antara usaha meningkatkan kecekapan proses pembelajaran dan pengajaran (PdP). 

Pengerusi Jawatankuasa Tawaran PN, Datuk Dr. Radzi Jidin berkata, perkara itu antara tawaran di bawah manifesto gabungan itu untuk memantapkan sektor pendidikan negara. 

Beliau berkata, meskipun guru sudah dilatih dalam konteks pendigital sepanjang Covid-19, tetapi tawaran itu membantu meningkatkan kecekapan proses PdP kepada mereka. 

“Semua guru kita akan disedia komputer riba sebab apa dengan teknologi digital ini banyak perkara boleh dimudahkan. 

“Kalau kita buat dulu secara manual satu persatu mengambil masa kita bentuk satu sistem menyeluruh bagi memudahkan guru-guru dan pada masa sama menyediakan peranti untuk guru-guru. Ini pertama kali dalam sejarah guru-guru akan disediakan dengan komputer riba bagi memudahkan PdP mereka,” katanya. 

Beliau berkata demikian dalam sesi soal dialog pada majlis pelancaran PN di sini, malam ini. 

Menurut Radzi, sistem pendidikan di bawah PN juga akan bergerak dengan satu sistem lebih cekap dengan peningkatan kecekapan hubungan internet di sekolah. 

“Sebelum ini di sekolah tiga tempat saja ada internet iaitu bilik guru, pejabat dan pusat sumber. Kalau kita menang membentuk kerajaan kita akan sambung seluruh kawasan sekolah dengan internet berkelajuan tinggi. 

“Itu komitmen kita untuk membuat satu perubahan besar untuk pendidikan negara,” jelasnya. 

Terdahulu, sebanyak 234 tawaran dikemukakan PN yang merangkumi 12 tunjang dan 30 pendekatan pada pilihan raya umum kali ini. 

Antara tunjang yang menjadi tumpuan adalah ekonomi masa hadapan, meningkatkan nilai dan hidup rakyat serta membersihkan politik dan tadbir urus. 

Selain itu, mensejahterakan bumiputera, Orang Asli dan semua kaum, merapatkan jurang pembangunan wilayah, melestarikan alam sekitar serta memperkasakan belia. – UTUSAN

 

Previous Post Next Post