Subjek Pendidikan Seni Visual bebankan ibu bapa?

        Imej hiasan

"Geram betul dengan anak, dah tengah malam baru nak beritahu cikgu suruh beli kertas warna untuk subjek seni esok. Apa ni, tak boleh lukis macam biasa ke nak juga kertas warna lah, warna air lah.

Cikgu pun satu, sudahlah semuanya mahal, bukan sekolah sediakan pun. Pentingkah subjek seni visual ini?"

Biasa untuk mendengar keluhan ibu bapa lain atau anda sendiri yang merungut dengan tindakan 'guru' yang kononnya selalu tergesa-gesa meminta murid menyediakan bahan untuk subjek Pendidikan Seni Visual (PSV).

Selalunya masa diberikan suntuk dan bahan yang hendak dicari sukar diperoleh di kedai biasa.

Justeru bukan mustahil sebahagian ibu bapa berpandangan subjek PSV hanya menyusahkan ibu bapa dan tidak ada faedahnya. Kepada mereka, PSV tiada kepentingan malahan keperluan menyediakan alatan untuk subjek itu saban minggu dianggap bebanan.

Bagaimanapun bagi Pengarah Pusat Kebudayaan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Dr Norzuraina Mohd Nor, berkata PSV bukanlah subjek baharu. Sebaliknya ia adalah nama lama bagi Pendidikan Seni.

"Berbanding dulu, perubahan nama ini dilihat lebih sesuai kerana silibusnya diperluas. Ia menjurus kepada seni tampak atau visual dan tidak merujuk kepada seni lain seperti muzik, sastera, tarian atau lakonan.

"Inilah subjek yang memberi peluang kepada murid memupuk minat, memperkembang keperibadian, memberi kesedaran dan kepekaan terhadap nilai kesenian dan alam sekitar," katanya.

Setiap subjek ada peranan 

Bagaimanapun tegas Norzuraina memang diakui terdapat segelintir ibu bapa melihat PSV sebagai mata pelajaran tidak penting yang mendorong mereka mahu anda fokus kepada mata pelajaran lain yang lebih penting' seperti Matematik dan Sains.

Mereka berpandangan seni adalah mata pelajaran yang mudah dan boleh dikuasai sesiapa sahaja serta tidak memberi kesan kepada markah selain prestasi murid.

“Setiap subjek ada peranan dan tempatnya. Misalnya penerapan PSV secara menyeluruh amat penting dalam membentuk kemenjadian murid selaras Falsafah Pendidikan Negara.

“Kurikulum PSV dibina Kementerian Pendidikan (KPM) dengan gabungan pelbagai elemen ilmu pengetahuan dan kemahiran kesenian yang diperlukan murid. Ia bertahap dan membantu mereka menghayati nilai seni kalau pun tidak mampu berkarya.

"Jadi, kandungan kurikulum dibina supaya murid dapat mengaplikasikan pengetahuan mengenai seni. Dalam hal ini kemahiran mengaplikasi itu turut diajar," katanya.

Tegas Norzuraina, pada peringkat sekolah rendah, PSV adalah strategi pembelajaran bersepadu melalui Pembelajaran dan Pemudahcaraan (PdPc) yang dilihat lebih berkesan dengan aktiviti Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT).

Hal ini selari dengan kemam. puan murid yang mempunyai pelbagai kecerdasan seperti ruang visual, kinestetik, interpersonel dan intrapersonel.

Katanya, semua itu penting dalam membantu murid berkomunikasi dan mengukuh koordinasi pancaindera secara seimbang selain menjadikan pembelajaran lebih berkesan serta bermakna.

"Bagi murid sekolah rendah, subjek ini yang membenarkan mereka meneroka potensi diri dan membina kemahiran sosial. Ia juga membantu murid jadi kreatif dan inovatif.

"Hal ini disebabkan pada peringkat sekolah rendah, kebanyakan murid tidak mampu meluahkan pandangan atau perasaan mereka melalui penulisan.

"Jadi PSV adalah medium yang sangat berkesan bagi tujuan berkenaan selain mampu memperbaiki tahap keyakinan murid dalam meningkatkan perkembangan mereka," katanya.

Tegas Norzuraina, anggapan PSV sebagai bebanan adalah disebabkan sebahagian ibu bapa tidak faham akan kepentingannya. PSV bukan bertujuan melahirkan murid yang pandai melukis namun lebih daripada itu.

Katanya, dari segi lain subjek ini membantu membentuk sahsiah murid yang lebih harmonis, kritis, kreatif dan inovatif selain mengamalkan nilai mur. ni, menghargai estetik seni pelbagai budaya serta mensyukuri keindahan alam ciptaan Tuhan.

Sekolah sediakan bahan Sementara itu, Setiausaha Panitia PSV Sekolah Kebangsaan Bukit Kemuning (2), Juliani Mohd Taib, berkata keluhan atau kegelisahan ibu bapa kerana tidak dapat menyambung kerja sekolah anakanak tidak sepatutnya timbul sebaliknya sekadar membantu menyediakan bahan dan alatan sahaja.

Ini adalah kerana umumnya guru akan melaksanakan aktiviti PSV selama tiga minggu bagi membimbing murid menyiapkan projek. Justeru isu guru memberi tugasan atau meminta penyediaan bahan secara 'tergesa-gesa' tidak tepat.

"Pihak sekolah dan guru PSV sedaya upaya mencari kaedah alternatif dengan menyediakan bahan dan alatan asas untuk murid. Contohnya, menyediakan kertas lukisan, pensel warna, warna air, berus, palet dan peralatan seni lain.

"Ibu bapa perlulah lebih terbuka untuk memberi ruang kepada murid meluahkan ekspresi mereka melalui aktiviti seni. Ibu bapa seperti juga guru, perlu menjadi pemudah cara dalam proses pembelajaran anak," katanya.

Menggalas tanggungjawab sebagai guru PSV lebih daripada 10 tahun, Juliani berkata, rata-rata muridnya yang begitu semangat setiap kali kelas PSV diadakan.

"Kehadiran dilihat penuh melainkan ada murid yang demam dan tidak dapat hadir atas urusan tertentu."

"Ini menunjukkan PSV adalah mata pelajaran yang disenangi murid dan ibu bapa perlu mendorong minat anak-anak.

"Selain itu, waktu kelas PSV adalah masanya murid boleh bergerak bebas mengikut keselesaan mereka sepanjang menghasilkan hasil lukisan atau projek dengan bimbingan guru masing-masing," katanya.

Katanya dalam konteks yang lebih luas PSV juga jika mempunyai prospek kerjaya yang luas.

Malah katanya, hari ini bidang berkaitan seni mendapat tempat dan sambutan hangat dalam kalangan pelajar malah ia boleh didalami hingga ke peringkat doktor falsafah.

"Ini juga seiring dengan kemajuan teknologi digital, medium dan media yang digunakan bagi menghasilkan serta mempersem bahkan sesuatu karya seni juga turut berkembang.

"Aplikasi seni boleh dilihat dalam penghasilan laman web, animasi 3D, rekaan permainan digital dan simulasi," katanya.

Previous Post Next Post