Putri Afzan Maria - Foto SINAR HARIAN/ Rafeq Redzuan |
SHAH ALAM-Sistem pendidikan negara masih lagi terkebelakang berbanding negara lain, kata pengamal dan advokator pendidikan, Dr Putri Afzan Maria Zulkifli.
Menurutnya, wujud jurang perbezaan pendidikan dengan negara maju dan aspek ini seharusnya tidak dilihat daripada satu sudut.
Tanpa menamakan mana-mana pihak, Putri Afzan Maria berkata, mereka yang berada dalam bidang pendidikan tahu tentang perkara itu.
"Mereka yang tahu dalam bahagian itu, mereka fahamlah. Selagi kita tidak ubah. Jurang kita akan makin jauh dengan negara di hadapan," katanya pada Ahad.
Dalam pada itu, Putri Afzan melihat ibu bapa masih kurang memainkan peranan kepada pendidikan anak-anak mereka.
"Tidak cukup. Sebab kita tidak menekankan pendidikan keibubapaan yang 'standard'," katanya.
Beliau turut menegaskan bahawa enam tahun pertama pertumbuhan anak-anak adalah amat penting dan ibu bapa seharusnya mengetahui perkara berkenaan.