Sistem pendidikan negara bercelaru, perlu dirombak - Anwar


KUALA LUMPUR: Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, menegaskan kerajaan baharu selepas ini perlu merombak sistem pendidikan negara yang disifatkan sebagai bercelaru. 

Beliau mendakwa, sistem ketika ini tidak menjamin peningkatan mutu yang baik kerana tidak bersedia mendengar teguran, pandangan serta hujah balas guru di lapangan. 

"Ketika saya menjadi Menteri Pendidikan (dulu), saya di atas dan guru-guru inilah yang berada di lapangan serta menjalankan setiap dasar yang diberikan. 

"Justeru, amat penting untuk mendengar suara guru-guru ini, selain ibu bapa dan murid-murid itu sendiri. 

"Jika ada mentaliti sombong serta angkuh, guru tidak boleh menegur atau mengkritik, ini akan menyebabkan kekangan berfikir, dan tidak mungkin kita dapat merancang dengan lebih baik," katanya dalam hantaran melalui laman sosial beliau, semalam. 

Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu berkata, sepanjang tempoh menyandang jawatan Menteri Pendidikan dulu, beliau menjalinkan hubungan baik dengan kesatuan guru serta mendengar keluhan serta pandangan mereka, dan ia bukan saja mengenai kebajikan golongan itu. 

"Tanpa mendengar suara mereka, kita tidak dapat meningkatkan mutu perkhidmatan guru itu sendiri. 

"Sebagai contoh, ramai guru dahulu yang berkelulusan lama, iaitu Tingkatan Lima. Kita mendengar keinginan mereka, jadi kita mewujudkan diploma khas untuk meningkatkan mutu mereka. 

"Bidang pendidikan dan perguruan ini sangat dekat di hati saya," katanya. 

Beliau menekankan, adalah tidak munasabah untuk perancangan pendidikan tidak mengambil kira pandangan ibu bapa dan lebih utama lagi guru. 

"Pandangan ini bermakna cadangan baharu, cadangan balas, teguran, singgungan dan kritikan. 

"Oleh itu, isu pendidikan ini sangat dekat dengan masyarakat kerana ia memberi kesan kepada keyakinan masa depan untuk anak-anak mereka," katanya.

 

Previous Post Next Post