Segelintir guru ‘bising’ kerana tidak kompeten, ibu bapa pentingkan diri sendiri

Imej hiasan


BARU-BARU ini guru dan ibu bapa membuat gesaan agar kandungan pembelajaran bagi sekolah rendah disemak semula dan dipermudahkan setelah ia dianggap terlalu susah bagi dikuasai oleh murid.

Menyalahkan kandungan pembelajaran dan membuat gesaan mempermudahkan kandungan ini sebenarnya hanya menunjukkan betapa tidak kompetennya sebilangan guru di negara ini. 

Ada guru yang tidak mampu menguasai kandungan pembelajaran. Ada pula yang tidak cekap dalam menyampaikan kandungan ini kepada murid. 

Guru sepatutnya mencari jalan bagaimana meningkatkan kecekapan diri mereka sendiri dan bukan menyalahkan penggubal kandungan pembelajaran. 

Tiada sesiapa yang menafikan beratnya beban tugas guru di sekolah Tetapi sepatutnya para pendidik terbabit bekerjasama sesama mereka dan berjuang untuk mencari cara terbaik bagi memastikan murid menguasai kandungan pembelajaran. 

Namun, segelintir daripada mereka lebih memilih untuk berjuang di media sosial dan berdebat mengenai betapa perlunya kandungan pembelajaran ini diubah dan dipermudahkan tanpa memberikan penyelesaian konkrit. 

Tambah sebilangan guru lagi, bukan tugas mereka untuk memikirkan penyelesaian ini, ia patut dilakukan oleh Kementerian Pendidikan (KPM) serta penggubal kandungan terbabit. 

Bukankah ini hanya menyerlahkan betapa tidak kompetennya sebahagian guru ini? 

Tidak berkesankan segala ilmu pedagogi yang diterapkan semasa mereka menjalani latihan perguruan sebelum ini? 

Apa pula tindakan di pihak guru bagi memperbaiki dan mempertingkatkan prestasi mereka sendiri? 

Gesaan untuk mempermudahkan kandungan pembelajaran ini juga sebenarnya mendedahkan sikap penting diri yang menebal dalam kalangan sesetengah ibu bapa. 

Hanya kerana anak masing-masing belum dapat menguasai kandungan pembelajaran ini, mereka dengan mudah meminta agar murid cemerlang dan telah menguasai kandungan terbabit untuk tidak diberi perhatian lagi dan segala fokus hanya diberikan kepada anak-anak mereka. 

Ironinya di sini, mereka tidak mahu anak-anak mereka didiskriminasikan kerana lemah. Namun, mereka tidak punya masalah untuk mendiskriminasikan dan menolak ke tepi murid yang telah berusaha gigih menguasai pelajaran.

Dengan terus berkeluh-kesah di media sosial tentang betapa susahnya kandungan pembelajaran dan menuntut perubahan kandungan, ibu bapa ini juga sedang mengajar anak-anak bahawa mereka boleh mendapatkan segalanya dengan hanya merintih, merungut dan menggesa pihak lain untuk membuat perubahan.

Hilang sudah nilai-nilai seperti bekerja keras untuk mendapatkan sesuatu dan memulakan sebuah perubahan daripada diri sendiri yang sepatutnya diterapkan kepada anak-anak ini sejak kecil.

Usah terlalu terpancing dengan pempengaruh ini yang merasakan mereka yang paling benar. Mintalah mereka membuktikan kata-kata dengan sokongan kajian akademik dan bukti empirikal, bukan sekadar bermain dengan sentimen dan emosi.

Janganlah terlalu naif dengan memikirkan bahawa keadaan akan serta-merta menjadi lebih baik jika kandungan pembelajaran sekarang diubah.

Saat ia dirombak, akan kedengaran pula rungutan bahawa hal ini akan menyusahkan guru, ibu bapa dan murid kerana mereka perlu menguasai kandungan pembelajaran baharu.

MOHAMAD SYAFIQ YA SHAK 
Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Perak

 

Previous Post Next Post