Saya akan tingkat martabat pendidikan jika jadi menteri pendidikan semula - Dr Maszlee

KLUANG: Penyandang kerusi Parlimen Simpang Renggam, Dr Maszlee Malik berikrar untuk mengangkat martabat pendidikan negara setanding negara maju seperti Singapura jika menang pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) dan dilantik sebagai Menteri Pendidikan semula.  

Beliau berkata, hasrat itu hanya berjaya direalisasikan sekiranya Pakatan Harapan (PH) diberi mandat membentuk kerajaan selepas PRU-15 nanti. 

"Kita tak letak jauh penanda aras pendidikan, kita lihat Singapura yang menjadi antara terbaik dunia, ketika saya jadi menteri pendidikan, kita pergi ke setiap persidangan pendidikan. 

"Negara luar seperti Amerika Latin dan sesetengah negara Eropah timur menggunakan sukatan pelajaran Singapura yang menjadi bukti negara berkenaan melihat tinggi kepada pencapaian Singapura. 

"Walhal Singapura hanya seberang tambak dari kita dan orang kita ramai bekerja di sana. Jadi, kita boleh jadikan pendidikan kita setaraf mereka atau lebih baik, tetapi berikan kami lima tahun," katanya berucap sempena Majlis Pelancaran Jentera P151 Parlimen Simpang Renggam, Ketua Zon dan Ketua Pusat Daerah Mengundi di perkarangan Pejabat PKR Simpang Renggam di sini, hari ini. 

Maszlee berkata, pihaknya juga berazam melaksanakan model pendidikan baharu dan reformasi menyeluruh sistem pendidikan yang bersifat antarabangsa. 

"Kita pernah merangka model pendidikan baharu pada 2019, hasil kajian dasar pendidikan negara. 

"Sepatutnya pada 2021 kita akan mempunyai perubahan menyeluruh sukatan pelajaran kita, sistem yang baharu bertaraf antarabangsa iaitu pelajaran wajib 12 tahun, dari anak sekolah hingga ke peringkat menengah, peningkatan terhadap pendidikan vokasional," katanya. 

Bagaimanapun, Maszlee berkata, perubahan yang hendak dilaksanakan itu terbantut selepas PH kehilangan kuasa sebagai kerajaan. 

Katanya, beliau juga berazam membela nasib ramai ahli akademik di pusat pengajian tinggi yang menjadi mangsa kezaliman hanya kerana bersuara menentang ketidakadilan yang berlaku termasuk salah laku rasuah. 

"Di peringkat universiti, bersama kita adalah mantan Naib Canselor (NC) Universiti Sultan Zainal Abidin (UNIZSZA), Prof Datuk Dr Hassan Basri Awang Mat Dahan yang secara rasmi mengisi borang ahli untuk memastikan kemenangan rakyat pada PRU15 kali ini. 

"Maaflah, saya umumkan perkara ini selepas beliau isi borang, Hassan Basri antara nama akademik yang dikenakan tindakan kerana berjaya mengekang rasuah salah laku UMNO di universiti. 

"Beliau bukan seorang tetapi ramai lagi ahli akademik yang dikenakan tindakan oleh universiti kerana mereka bersuara," katanya. 

Katanya, perubahan itu termasuk bagi mewujudkan undang-undang baharu yang bersifat komprehensif demi menaik taraf pendidikan tinggi supaya bertaraf antarabangsa

 

Previous Post Next Post