Imej hiasan |
Tular baru-baru ini mengenai rungutan pelbagai pihak, terutama guru dan ibu bapa berkenaan silibus sekolah rendah yang dikatakan terlalu tinggi. Justeru, ada gesaan supaya silibus itu diubah atau dipermudahkan. Pasti mereka ini mempunyai sebab tertentu untuk berkata demikian.
Namun, dari satu sisi, dikhuatiri jika silibus diubah menjadi lebih mudah, ia tidak menjadikan keadaan lebih baik bagi murid.
Terlalu mempermudahkan kandungan pembelajaran hanya akan menunjukkan betapa tidak mampu pelajar menguasai kemahiran penting di aras yang tinggi. Kita juga seolah-olah mengatakan murid terlalu bodoh untuk memahami isi kandungan pembelajaran sendiri. Adakah ini realiti sebenar pelajar Malaysia, yang cuba kita sembunyikan selama ini?
Mempermudahkan kandungan pembelajaran juga bakal memberikan kesan kepada peribadi pelajar.
Kita tidak mengajar murid untuk menyahut cabaran dan dikhuatiri pada masa depan, mereka akan semakin tidak berdaya saing, hanya mampu merungut kerana tahu rungutan akan didengari.
Apakah ini nilai yang mahu diterapkan kepada anak kita? Faktanya, dunia tidak berputar di sekeliling mereka sebaliknya perlu beradaptasi, terutama saat menjengah ke dunia pekerjaan nanti.
Ada pula yang beralasan bahawa kandungan pembelajaran perlu dipermudahkan bagi memberikan keadilan kepada pelajar lemah. Persoalannya sekarang, adakah kita turut memberikan keadilan kepada mereka yang cemerlang dan mampu menguasai kandungan pembelajaran ini?
Sungguh menghairankan saat sebilangan guru dan ibu bapa dengan mudah mahu 'menolak ke tepi' pelajar yang berjaya ini dengan alasan mereka adalah minoriti. Bukankah ini juga sebuah bentuk diskriminasi? Mereka tidak mahu anak mereka yang dianggap lemah didiskriminasikan oleh kandungan pembelajaran yang dikatakan terlalu tinggi, tetapi dengan mudah menyisihkan pelajar yang berjaya? Adakah ini pilih kasih? Bukankah semua pencapaian patut diraikan?
Galak prestasi sekadar biasa-biasa
Bahkan tidak mustahil juga ketika pelajar yang cemerlang ini ditolak ke tepi, mereka akan berasa berputus asa selepas melihat perhatian yang diberikan secara berlebihan kepada rakan yang dianggap 'lemah'. Lalu timbul tanggapan, mereka seolah-olah sedang dihukum hanya kerana dapat menguasai pembelajaran dengan lebih baik.
Natijahnya, ia hanya menggalakkan semua pelajar untuk berprestasi sekadar 'biasa-biasa' sahaja. Adakah pelajar yang biasa-biasa' ini yang menjadi dambaan ibu bapa, kesan daripada mempermudahkan kandungan pembelajaran secara berlebihan?
Lebih mengejutkan lagi, ada juga yang mahu murid sekolah rendah ini hanya diajar mengenai apa yang perlu mereka gunakan dalam kehidupan harian sahaja dan tidak lebih daripada itu. Jika hal ini berlaku, kita hanya akan membantutkan potensi anak kita,
Memang tidak mudah memenuhi hasrat semua ibu bapa, guru dan pelajar. Namun, apa yang di perlukan sebenarnya adalah kerjasama jitu dari pada semua pemegang taruh bagi mencari kaedah terbaik bagi membantu pelajar. Terlalu banyak cara sebenarnya yang sudah didokumentasikan dengan baik dari seluruh dunia mengenai bagaimana semua pelajar dapat dibantu untuk menguasai kandungan pembelajaran yang dikatakan beraras tinggi ini. Pasti pihak Kementerian Pendidikan Malaysia juga sudah membekalkan panduan kepada guru untuk menguasai kandungan pembelajaran ini.
Kita mungkin berfikir bahawa sedang membantu anak kita sekarang. Tetapi, sebaliknya, kita juga bakal 'melumpuhkan' keupayaan mereka dalam menghadapi cabaran dunia masa depan yang semakin getir. Sudah-sudahlah kita membuat keputusan berdasarkan emosi sesaat serta sentimen yang dibawa kelompok pempengaruh di media sosial.
Yakinlah dengan kemampuan anak kita dan bantu mereka bagi mencabar diri sendiri untuk lebih berjaya. Mempermudahkan kandungan pembela jaran serta menurunkan standard pendidikan bukanlah jawapan. Kita sebenarnya cuma menutup bukti ketidakmampuan pelajar.