Pelajar pendidikan khas ikuti simulasi mengundi

SERAMAI 107 pelajar Sekolah Menengah Pendidikan Khas (SMPK) Vokasional Kuantan mengikuti simulasi Pilihan Raya Umum (PRU) di Dewan Ibnu Al Awwam. FOTO Mohd Rafi Mamat


Kuantan: Seramai 107 pelajar Sekolah Menengah Pendidikan Khas (SMPK) Vokasional Kuantan di sini, berpeluang mengikuti simulasi pilihan raya di Dewan Ibnu Al Awwam hari ini. 

Mereka terdiri daripada pelajar istimewa yang julung kali berpeluang untuk mengundi pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15). 

Pengetuanya, Najib Muhamad berkata, mereka membabitkan 13 pelajar masalah pendengaran dan 94 pelajar masalah pembelajaran. 

"Pihak sekolah mendapat kerjasama sepenuhnya daripada pegawai Jabatan Penerangan Kuantan dan Pahang dibantu guru bagi menjayakan simulasi yang mengikut peraturan ditetapkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR). 

"Semua pelajar diberi peluang membuang undi bermula daripada semakan, menanda jari dengan pewarna, menanda kertas undi dan membuang undi dalam kotak disediakan," katanya. 

Menurut beliau, simulasi itu bertujuan memberi pendedahan dan tunjuk ajar kepada pelajar istimewa cara mengundi yang sebenar serta peraturan yang perlu dipatuhi. 

"Bagi pelajar masalah pendengaran, mereka perlu sentiasa mendapat bimbingan guru sambil menggunakan bahasa isyarat sepanjang perjalanan simulasi diadakan," katanya. 

Pelajar masalah pendengaran, Ahmad Syamil Adzwan Syamsul Adzrul, 18, berkata, dia tidak sabar untuk mengundi walaupun masih tidak mengetahui tempat mengundi. 

"Saya juga bimbang kerana ini kali pertama mengundi dan berharap tidak berdepan masalah sepanjang proses membuang undi kelak. 

"Saya berharap SPR dapat menyediakan individu yang boleh menggunakan bahasa isyarat bagi membantu saya," katanya yang berasal dari Muadzam Shah, Rompin.

 

Previous Post Next Post