Imej hiasan |
PETALING JAYA – Sistem pendidikan negara masih memerlukan ujian penilaian khususnya di peringkat sekolah rendah untuk mengetahui tahap pencapaian murid dalam menguasai 3M iaitu menulis, membaca, mengira sebelum ke peringkat seterusnya.
Pelaksanaan Pentaksiran Bilik Darjah (PBD) ketika ini dianggap dilakukan bukan pada masa yang sesuai walaupun ia diakui sebagai langkah kehadapan dalam mengevolusikan pendidikan kerana negara masih belum bersedia untuk kaedah itu.
Pensyarah Pusat Kajian Kepelbagaian Pendidikan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr. Anuar Ahmad berkata, Kementerian Pendidikan wajar mewujudkan sebuah sistem ujian pencapaian bagi menilai penguasaan pelajar terhadap 3M.
Ini kerana katanya, sekiranya Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dikembalikan seperti dahulu, dikhuatiri ia akan memberi tekanan kepada murid-murid dan tidak sepatutnya berlaku di peringkat awal pendidikan.
“PBD ini baik, tetapi kita belum bersedia lagi dari segi kesediaan seperti jumlah pelajar di dalam kelas dan sebagainya. Buat sementara waktu, memang sepatutnya kita memang perlu laksanakan ‘UPSR’ yang bukan bersifat peperiksaan tetapi lebih kepada ujian pencapaian.
“Ujian itu membantu mengesan sama anak-anak kita sudah menguasai 3M atau belum. Pada masa sama, kita perlu merancang PBD ni juga supaya ia dapat dilaksanakan semula dengan baik dan secara berkesan.
“PBD akan berkesan apabila bilangan murid di dalam bilik darjah dan silibus dapat dikurangkan, jadi cikgu akan ada banyak masa untuk membuat aktiviti untuk menilai sama ada murid-murid sudah menguasai pelajaran atau belum,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.
Sebelum ini, Ketua Pemuda Barisan Nasional (BN), Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki mendakwa ada wakil guru di seluruh negara meminta BN mengembalikan UPSR dalam manifesto PRU15.
Dakwa guru berkenaan, murid-murid seakan hilang arah tuju dengan pelaksanaan PBD manakala golongan pendidik merasa terbeban dan sekiranya UPSR dikembalikan maka murid dapat dinilai spesifik serta berkesan.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan Pertubuhan Ikram Malaysia (Ikram), Prof Dr. Omar Yaakob tidak bersetuju sekiranya UPSR dahulu dilaksanakan kembali kerana ia adalah langkah kebelakang.
Jelasnya, pelaksanaan PBD perlu diperkemaskan bagi memastikan ia memberi impak besar kepada sistem pendidikan negara secara positif.
“Isunya sekarang ialah tentang pelaksanaan. Masalah tu perlu kita tangani dan perbetulkan, KPM dan pihak terlibat perlu perkemaskan semula kaedah pelaksanaan,” katanya. – UTUSAN