KUALA LUMPUR: Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan Parlimen dibubarkan berkuat kuasa hari ini selepas diperkenan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah untuk memberi laluan kepada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Perdana Menteri membuat pengumuman itu menerusi perutusan khas yang disiarkan secara langsung ke seluruh negara, menerusi siaran televisyen dan media dalam talian pada jam 3 petang ini.
Pengumuman itu sekali gus menjawab segala teka-teki serta spekulasi yang berlegar sejak beberapa minggu lalu mengenai pembubaran Parlimen, selepas Ismail Sabri menghadap Seri Paduka di Istana Negara pada Khamis lalu.