Papan tanda informasi sejarah Perang Dunia Kedua, 'Battle of Kampar,' akhirnya berjaya didirikan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kampar setelah melalui pelbagai rintangan sebelum ini. -Bernama |
KAMPAR: Papan tanda informasi sejarah Perang Dunia Kedua, 'Battle of Kampar,' akhirnya berjaya didirikan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kampar setelah melalui pelbagai rintangan sebelum ini.
Pengerusi Persatuan Kumpulan Sejarah Malaya (MHG), Shaharom Ahmad, berkata hasrat pihaknya untuk mengangkat sejarah 'Battle of Kampar' (Pertempuran Kampar) sebagai produk pelancongan tercapai jua setelah sekian lama berusaha mempromosi lokasi bersejarah tersebut kepada orang ramai.
"MHG dengan kerjasama SMK Kampar telah berjaya memasang dan merasmikan papan tanda baharu 'Battle of Kampar' di pekarangan laman sejarah sekolah ini.
"Papan tanda baharu ini memaparkan maklumat berserta gambar selain peta ringkas yang mudah difahami berkenaan dengan 'Battle of Kampar' yang berlaku pada 30 Dis 1941 hingga 2 Jan 1942," katanya ketika ditemui media selepas perasmian papan tanda tersebut semalam.
Menurutnya, Ogos lalu pihaknya akur dan menerima keputusan dengan menanggalkan papan tanda yang diletakkan di tapak pertempuran di Green Ridge di sini, setelah timbul isu berbangkit berhubung kehadiran papan tanda itu.
Tapak pertempuran seluas 6.47 hektar itu merupakan bukti pertempuran hebat di antara 1,500 tentera British yang turut disertai tentera India, Sikh dan Gurkha menentang 4,000 tentera Jepun selama empat hari empat malam.
Pertempuran itu mengakibatkan 150 tentera British serta 500 tentera Jepun maut dan dikebumikan di satu tempat di kawasan sama, dikenali sebagai Green Ridge.
Sebelum ini tular di media sosial memperlihatkan papan tanda informasi yang menunjukkan peta serta keterangan 'Battle of Kampar' ditanggalkan malah papan tanda terbabit pernah dicuri oleh pihak tidak bertanggungjawab awal Januari lalu.
Shaharom berkata dengan adanya papan notis terbabit para pengunjung akan sedar kepentingan dan kerelevanan sejarah Perang Dunia II yang ada dalam negara.
"Kami juga harapkan ia boleh memberi nilai tambah kepada lokasi sejarah sekali gus dapat menarik lebih ramai pelancong untuk mengunjungi daerah Kampar ini," katanya.
- BERNAMA