Gambar kenangan Allahyarham Adam Iskandar (kiri) bersama ibu bapa dan dua adik perempuannya, baru-baru ini. |
SUNGAI PETANI – Seorang murid lelaki tingkatan tiga meninggal dunia selepas rebah di dalam kelas di sebuah sekolah menengah di sini hari ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 8.05 pagi itu, murid terbabit, Adam Iskandar Shah Rizal, 15, dikatakan rebah secara tiba-tiba dan disedari rakan sekelas yang sedang membuat persediaan untuk memulakan pelajaran.
Mangsa yang merupakan anak kedua daripada empat beradik kemudian disahkan meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) di sini.
Menurut ibu pelajar itu, Junaidah Mat Saad, 42, dia dimaklumkan tentang kejadian tersebut daripada pihak sekolah pada pukul 8.10 pagi tadi.
“Saya dan suami, Shah Rizal Ismail, 46, bergegas ke Zon Merah (Jabatan Kecemasan) HSAH sebelum dimaklumkan bahawa anak telah meninggal dunia,” katanya ketika ditemui di Unit Forensik HSAH hari ini.
Menurutnya, anak lelakinya itu mengalami masalah salur darah jantung tersumbat dan sering dirujuk ke hospital.
“Terbaharu pada minggu lepas, arwah dikejarkan ke sebuah klinik swasta kerana mengadu sesak nafas dan diberikan cuti sakit selama empat hari.
“Hasil keputusan bedah siasat kami dimaklumkan dia meninggal dunia kerana serangan jantung,” ujarnya sambil menyifatkan arwah seorang anak yang baik, taat dan menghormati ibu bapa.
Sementara itu, katanya, arwah menunjukkan perubahan semasa hendak keluar dari rumah di Taman Kelisa Ria ke sekolahnya pada pagi semalam.
“Sebelum ini arwah seorang murid yang cukup berdisiplin dengan memakai uniform lengkap seperti ditetapkan pihak sekolah dan jika tidak lengkap seperti tiada sarung kaki, dia tidak mahu ke sekolah.
“Namun, hari ini dia tetap mahu ke sekolah dengan berselipar kerana kasut sekolah basah,” ujarnya yang merupakan peniaga kuih.
Katanya, dia dan suami melarang Adam memakai selipar ke sekolah tetapi arwah tetap mahu ke sekolah.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Zaidy Che Hassan ketika dihubungi mengesahkan kematian murid terbabit dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR).
Sumber – KOSMO! ONLINE