Mahdzir Khalid (kanan) bersama Ketua Setiausaha Datuk Ramlan Harun (kiri) semasa mempengerusikan Majlis Perundingan Orang Asli (MAPOA) 2022 pada Isnin. Foto:Bernama |
CYBERJAYA - Lebih 10 peratus anak Orang Asli di seluruh Semenanjung Malaysia tercicir daripada sistem pendidikan.
Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, keciciran tersebut antaranya adalah disebabkan faktor jarak penempatan dengan sekolah selain akses perjalanan.
"Ada juga faktor keluarga yang tidak mengambil berat terhadap pendidikan," katanya.
Menurutnya, perkara itu antara tiga kertas dibentangkan di dalam Mesyuarat Perundingan Orang Asli (MPOA) yang diadakan secara tertutup pada Isnin.
"Dari aspek kesihatan pula, antara perkara yang dibangkitkan adalah agar kerajaan mempertimbangkan untuk memperbanyakkan pusat rawatan berpusat di beberapa penempatan Orang Asli.
"Faktor kos perjalanan untuk dapatkan rawatan di hospital terdekat antara perkara utama yang diusulkan selain meminta perjawatan di Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) seperti penolong pegawai perubatan (MA) yang disandang oleh Orang Asli di kawasan lain dikembalikan ke perkampungan mereka," jelas beliau.
Bagi isu pewartaan tanah Orang Asli pula, Mahadzir berkata, sebanyak 100324.78 ekar tanah melibatkan 215 kampung diwartakan setakat Disember 2021.
"Pewartaan itu membabitkan penempatan kediaman, ladang atau dusun buah-buahan Orang Asli sementara 638 kampung dalam proses pewartaan oleh kerajaan negeri," katanya menerusi sidang akhbar selepas mempengerusikan MPOA.
Turut hadir pada mesyuarat itu, Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Ahmad Yakob, Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) Sapiah Mohd Nor, Exco negeri dan pegawai kanan kementerian.
Ujarnya, segala input yang diterima daripada MPOA akan dibincangkan di peringkat KPLB sebelum di bawa ke kabinet.
"Kementerian juga akan mengadakan sesi libat urus bersama KKM dan KPM serta kerajaan negeri bagi mencari jalan penyelesaian," ujarnya.
Terdapat 853 kampung Orang Asli direkodkan di Semenanjung dengan Pahang, Kelantan dan Perak menjadi antara penempatan terbesar.