Kuasai 3M sebelum buat tranformasi pendidikan - Dr Anuar Ahmad

Imej hiasan


Kisah Cikgu Mohd. Fadli Salleh yang berdepan tindakan kerana lantang menyuarakan masalah sistem pendidikan negara menjadi isu panas dan turut mendapat perhatian Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob. 

Itu hanya secebis keluhan pendidik berhubung sistem pendidikan, hakikatnya ramai lagi yang bersuara ‘dalam diam’ kerana takut dikenakan tindakan. 

Sejak dahulu sehingga kini, pendidikan merupakan sektor yang diberi perhatian oleh kerajaan kerana ia penting dalam merencanakan masa depan negara. 

Melalui pendidikan, ia dapat melahirkan generasi baharu pelapis masa depan negara. Menerusi Bajet 2023, sebanyak RM55.6 bilion diperuntukkan kepada Kementerian Pendidikan. 

Isu pendidikan dapat dilihat secara zahir seperti bangunan daif dan infrastruktur lain yang satu persatu dibaiki dengan peruntukan besar walaupun tidak dinafikan masih ada sekolah yang belum diselesaikan. 

Bagi memperkasa pendidikan pelbagai program dilakukan dari satu menteri ke satu menteri pasti ada sahaja perubahannya. 

Dari subjek asas kini pelbagai mata pelajaran diwujudkan termasuk di sekolah rendah, pelbagai kaedah diperkenalkan untuk memartabat pendidikan negara. 

Untuk melahirkan murid yang hebat, soalan berprestasi tinggi juga dibuat seper­ti melalui Konsep Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT) sehingga menyebabkan ibu bapa garu kepala, malah ada guru juga sukar menjawabnya. 

Usaha transformasi dalam sistem pendidikan giat diteruskan sehingga menyaksikan peperiksaan utama seperti Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3) dihapuskan. 

Di sebalik 1001 tranfsformasi dilaksanakan, murid kini menggalas bebanan, malah guru dan ibu bapa turut terbeban. 

Pakar Pendidikan, Pusat Kajian Kepelbagaian Pendidikan, Universiti Kebangsaan Malaysia, Dr. Anuar Ahmad berkata, bebanan yang ditanggung ter­masuk murid yang kepenatan setiap hari ke sekolah membuatkan mereka semakin hilang keseronokan untuk menimba ilmu. 

Malah, katanya, penghapusan peperiksaan utama juga menyebabkan murid-murid bagaikan hilang motivasi dan hala tuju kerana tiada lagi fokus mereka apabila peperiksaan UPSR dan PT3 sudah tiada lagi sejak tahun lalu dan tahun ini.

Tambahnya, pelbagai transformasi pendidikan yang dilakukan juga dilihat tidak adil bagi sesetengah murid yang masih lagi belum menguasai 3M iaitu membaca menulis dan mengira. 

“Kurikulum yang ada harus mengalami anjakan, tetapi bukanlah ditambah pelbagai kurikulum dan proses pemulihan murid perlu dilaksanakan bagi memastikan tiada murid yang tercicir di belakang dalam arus pembangunan pendidikan negara,” katanya baru-baru ini. 

Di sini jelas menunjukkan kepada kita, dalam keghairahan mengejar perubahan pendidikan setanding negara maju, kita patut sama jangan terlupa memberi tumpuan kepada faktor 3M yang masih membelenggu murid-murid sekolah. 

Kepada pihak yang berkenaan, turunlah ke sekolah-sekolah masih ramai muridnya tidak tahu membaca. Jangan hanya berfikir perkara yang hebat, sedangkan hakikatnya anak-anak kita masih belum menguasai asas 3M. 

Adakah kajian dilakukan dalam isu 3M? Jangan hanya membuat andaian semua murid boleh membaca demi menampakkan kecemerlangan yang palsu. Jika ada kajian sekali pun, berapakah kadar 3M? Mengapa tidak pernah didedahkan? Buat sesuatu demi masa depan anak kita dan negara.

 

Previous Post Next Post