Dewan Rakyat dibubarkan hari ini |
KUALA LUMPUR: Kerajaan Sementara atau 'caretaker government' yang kini mentadbir negara, susulan pembubaran Parlimen hari ini, perlu memastikan pemisahan di antara entiti kerajaan dengan parti politik.
Pensyarah Undang-Undang dan Polisi dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Prof Madya Dr Muhammad Fathi Yusof, berkata situasi itu berlaku kerana Perdana Menteri dilantik melalui mandat yang diberikan atas kepercayaan majoriti anggota Dewan Rakyat.
Secara umum, beliau berkata, pelaksanaan kerajaan sementara tidak membabitkan perubahan organisasi, sebaliknya perubahan fungsi.
"Apabila anggota Dewan Rakyat tidak lagi wujud akibat pembubaran Parlimen, maka kedudukan Perdana Menteri dan Jemaah Menteri tidak lagi sama dengan keadaan biasa.
"Sewaktu kerajaan sementara, anggota Kabinet tidak tertakluk kepada pertanggungjawaban Dewan Rakyat, maka kuasa mereka perlu dihadkan," katanya di sini, hari ini.
Muhammad Fathi menegaskan, sesuai dengan status kerajaan sementara itu, jentera kerajaan pada semua peringkat tidak boleh terbabit dalam kempen politik kepartian.
Katanya, penjawat awam tidak boleh diarah untuk menguruskan program yang boleh ditafsirkan sebagai tujuan meraih sokongan politik dalam tempoh tersebut.
"Malah premis milik dan media kerajaan hanya boleh digunakan jika semua parti mendapat peluang untuk memanfaatkannya secara adil," katanya.
Muhammad Fathi berkata, dalam tempoh ini, kerajaan hanya menjalankan tugas asasi seperti menjaga keamanan dan menguatkuasakan undang-undang, selain memantau pelaksanaan tugas harian jentera kerajaan sehinggalah Pilihan Raya Umum (PRU) dapat berjalan dengan jayanya.
Katanya, kerajaan sementara tidak boleh mengemukakan dasar baharu, membuat perlantikan ke jawatan penting dan perjanjian yang besar dengan pihak luar.
"Sebenarnya konsep kerajaan sementara ini terbina atas tiga prinsip iaitu konsep amalan pertanggungjawaban dalam sistem demokrasi berparlimen, keperluan untuk melaksanakan pilihan raya yang adil yang mana semua parti mempunyai peluang dan ruang seimbang.
"Selain itu prinsip ketiga adalah amalan berkerajaan yang telus, amanah dan bersih daripada salahguna harta, tenaga dan sumber milik awam untuk kempen politik. Ketiga-tiga prinsip ini amat penting dalam sebuah negara demokrasi," katanya.
Tegasnya lagi, tanpa amalan kerajaan sementara, berlakulah pencabulan demokrasi, pilihan raya yang berat sebelah dan penyelewengan sumber awam.
"Ini bermakna pemimpin kerajaan, baik di peringkat Persekutuan mahu pun negeri, hanya boleh berkempen atas kapasiti parti, bukannya atas jawatan kerajaan.
"Program kerajaan pada semua peringkat, perlu dikurangkan setakat yang boleh bagi mengelakkan salah guna jentera atau program kerajaan untuk mendapat pengaruh politik.
"Prinsip ini berdiri di atas logik bahawa program dan sumber kerajaan adalah milik awam dan ia tidak boleh disalahgunakan untuk kepentingan persendirian, iaitu calon pilihan raya," katanya.
Ujar beliau lagi, kaedah itu sebenarnya dapat dilaksanakan dengan jayanya di negara demokrasi berparlimen lain.
Katanya, kebanyakannya dikuatkuasakan secara konvensyen atau amalan biasa tanpa terikat dengan peraturan bertulis.
"Namun ada juga negara yang mengemukakan garis panduan bertulis bagi memudahkan pelaksanaannya. Kerajaan Australia dan New Zealand misalnya, mengeluarkan dokumen rasmi bagi menguatkuasakan amalannya secara terperinci.
"Panduan ini amat sesuai untuk menjadi rujukan bagi pengamalannya di Malaysia," katanya.
Dalam perkembangan sama, beliau berkata PRU15 ini adalah peluang sangat baik untuk membina budaya politik yang lebih sihat dengan melaksanakan sebaik-baiknya konsep kerajaan sementara.
"Tentunya kita mahu menyaksikan demokrasi di Malaysia terus subur dengan menjanjikan persaingan adil dalam suasana yang harmoni dan damai," katanya.