Keputusan lembaga tatatertib adalah sulit - KPM


Kuala Lumpur: Keputusan Lembaga Tatatertib Perkhidmatan Pendidikan yang dijadualkan bersidang hari ini, selepas menerima surat representasi dikemukakan guru Matematik, Mohd Fadli Mohamed Salleh adalah bertaraf sulit. 

Justeru laporan mengenai keputusan itu tidak boleh sewenang-wenangnya dikongsi kepada media tanpa kebenaran. 

Jurucakap Unit Komunikasi Korporat (UKK) Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) berkata, semua mesyuarat Lembaga Tatatertib di mana-mana kementerian adalah bertaraf sulit. 

keputusan menang-menang dicapai "Sehubungan dengan itu, pihak media dimohon menunggu laporan rasmi sekiranya boleh kami kongsikan. 

"UKK memohon maaf atas sebarang kesulitan yang mungkin timbul daripada hal ini," katanya menerusi WhatsApp hari ini. 

Penjelasan itu dikeluarkan berikutan pertanyaan wartawan sama ada KPM akan mengeluarkan kenyataan rasmi hari ini mengenai keputusan representasi Mohd Fadli yang dikemukakan pada 14 Oktober lalu. 

Sabtu lalu, Mohd Fadli menerusi Facebook mendakwa dia akan dikenakan tindakan dibuang kerja atau diturunkan pangkat kerana menyuarakan pandangan mengenai silibus pembelajaran yang menurutnya terlalu tinggi dan tidak sesuai. 

Dia turut menyatakan bilangan murid di dalam kelas terlalu ramai, selain subjek pembelajaran yang banyak serta isu beg berat. 

Menurut surat yang dimuat naik guru berkenaan, Mohd Fadli diberikan tempoh 21 hari untuk mengemukakan representasi kepada Pengerusi Lembaga Tatatertib Perkhidmatan Pendidikan bagi membela diri. 

Semalam, Menteri Kanan Pendidikan Datuk Dr Radzi Jidin dilaporkan menyatakan kesediaan untuk berjumpa guru itu. 

Semalam, KPM turut menjelaskan surat yang dihantar kepada Mohd Fadli bukan surat jatuh hukum seperti tular di media sosial. 

Ketua Pengarah KPM, Datuk Pkharuddin Ghazali dilaporkan berkata, surat terbabit adalah pemakluman kepada Mohd Fadli supaya memberi penjelasan bertulis mengenai dakwaan yang diterima Lembaga Tatatertib serta keperluan guru berkenaan mengemukakan representasi. 

Katanya prosedur tatatertib dibuat di bawah Peraturan-Peraturan Pegawai Awam, Kelakuan dan Tatatertib 1993 yang mana ia digunakan untuk semua penjawat awam dalam perkhidmatan termasuk dirinya sendiri. 

"Untuk makluman, surat yang dihantar kepada cikgu itu bukanlah suatu surat yang membawa maksud bahawa hukuman telah dijatuhkan oleh Lembaga Tatatertib. 

"Sebaliknya, surat itu bertujuan memaklumkan cikgu berkenaan mengenai dakwaan yang telah diterima oleh pihak berkuasa tatatertib serta keperluan untuk mengemukakan representasi ataupun penjelasan bertulis," katanya menerusi video penjelasan yang dimuatnaik di Facebook rasmi KPM, semalam.

 

Previous Post Next Post