Kakak tikam adik: Dua beradik sangat rapat, saling menyayangi

Remaja perempuan berusia 18 tahun ditahan reman selama enam hari bermula hari ini bagi membantu siasatan berhubung kejadian membaling pisau ke arah adik lelakinya berusia 16 tahun hingga maut di rumah mereka di Kampung Ulu Pulai, Ulu Choh, semalam. - Foto BERNAMA


ISKANDAR PUTERI: Dua beradik yang terbabit dalam insiden tragis sehingga seorang daripada mereka maut, petang semalam, amat rapat, saling menyayangi dan taat pada agama. 

Ahli keluarga yang enggan identitinya didedahkan berkata, seluruh keluarganya terkejut dan tidak percaya insiden menyayat hati itu menimpa dua beradik berkenaan. 

Katanya, dua beradik itu dididik dalam keluarga dengan penuh kasih sayang dan ketakwaan, dengan keluarga mereka amat rapat dan saling menyayangi. 

Beliau berkata, kejadian itu bukan sahaja mengejutkan ahli keluarga, malah seluruh penduduk kampung. 

"Kedua-dua beradik itu adalah anak yang baik dan sangat bijak. Mereka sering mencatatkan keputusan cemerlang dalam peperiksaan, selain menjadi harapan keluarga. 

"Mangsa yang berusia 16 tahun adalah bekas pelajar Maahad Pontian sebelum berpindah ke sebuah sekolah menengah di Gelang Patah, manakala kakaknya belajar di Tingkatan Enam sekolah yang sama. 

"Mereka berdua serta tiga lagi adik adalah anak yang sangat baik dan dididik untuk saling berkasih sayang. Mereka juga dididik untuk tidak meninggalkan solat dan taat pada perintah agama. 

"Apabila menerima berita mengenai insiden malang ini, saya enggan percaya kerana ia sangat tragis dan menyayat hati," katanya ketika ditemui. 

Malam tadi, media melaporkan seorang seorang pelajar Tingkatan Empat di Kampung Ulu Pulai, Ulu Choh, di sini, meninggal dunia pada jam 2.30 petang semalam, dipercayai tertusuk pisau yang dibaling kakaknya. 

Kejadian itu dipercayai berpunca daripada perselisihan faham akibat berebut tempat duduk dalam kereta ketika pulang dari sekolah. 

Hasil siasatan polis mendapati, kejadian berpunca daripada pergaduhan adik-beradik dan ibu mangsa mendakwa mangsa bergaduh dengan kakaknya berikutan berebut tempat duduk dalam kereta ketika pulang dari sekolah dan perselisihan itu berlanjutan di rumah. 

Kakak mangsa dilaporkan, mengaku membaling pisau ke arah mangsa selepas dipersenda ketika sedang masuk ke dalam rumah. 

Remaja itu direman enam hari mulai hari ini hingga 25 Oktober depan. 

Seorang lagi ahli keluarga yang enggan dikenali berkata, ibu bapa mangsa trauma dan amat tertekan dengan insiden malang yang menimpa anak sulung dan anak kedua mereka. 

"Mereka amat sedih dan tidak keluar rumah sejak kejadian itu petang semalam, apatah lagi insiden tragis itu tular sejak malam tadi," katanya. 

Tinjauan dilakukan di rumah keluarga mangsa di Kampung Ulu Pulai mendapati, sanak-saudara dan penduduk kampung berada di situ bagi menziarahi keluarga itu. 

Bagaimanapun, anggota keluarga rapat enggan ditemu bual dan memohon media memberi ruang untuk keluarga berkenaan bertenang.

 

Previous Post Next Post