Cikgu Geografi Johan Qariah Kebangsaan dan Antarabangsa 2022

Cikgu Sofizah

Sudah tiga kali guru Geografi ini menyertai pertandingan Majlis Tilawah dan Hafazan Al-Quran Peringkat Kebangsaan (MTHQK) sebelum ini. 

Dalam tempoh tersebut, mungkin rezeki tidak berpihak pada dirinya untuk mendapat tempat di hati juri. 

Bagaimanapun, guru Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Taman SEA, Petaling Jaya, Selangor tidak pernah berputus asa sebaliknya dia mencuba lagi tahun ini. 

Siapa sangka, dengan semangat dan usaha gigihnya itu, guru yang berasal dari Kota Kinabalu, Sabah ini telah dinobatkan Johan Qariah Kebangsaan 2022 dalam MTHQK yang diadakan di Pusat Islam Iskandar, Johor, baru-baru ini. 

Cikgu Sofizah Mousin, 33 berkata, kemenangan tersebut ternyata mengejutkan namun dia menganggap ia adalah rezeki yang cukup besar buat dirinya sekeluarga. 

“Saya tidak dapat membuat persiapan rapi kerana kedua-dua anak perempuan yang berusia 14 bulan dan empat tahun sakit dua minggu sebelum majlis. 

“Jadi, saya terpaksa memberi tumpuan yang lebih kepada mereka. Bagaimanapun, saya tetap mencuri sedikit masa untuk berlatih dan memperkemaskan bacaan sebelum bertanding. 

“Alhamdullilah, pengorbanan ini berbaloi apabila saya muncul johan bahagian qariah,” katanya gembira. 

Kongsi tip kejayaan 

Isteri kepada Ahmad Asrol Saidi, 35, ini memberitahu, setiap hari dia akan membuat latihan suara ketika memandu kereta dalam perjalanan pergi dan pulang ke tempat kerja. 

“Memang latihan saya nampak lain daripada orang lain, namun itulah cara yang saya lakukan. 

“Suami dan keluarga pula sentiasa memberi sokongan dan kata-kata semangat sepanjang latihan, jadi merekalah sumber kekuatan untuk saya menyertai pertandingan tersebut,” katanya. 

Selain membawa pulang gelaran Johan Qariah Kebangsaan 2022, Cikgu Sofizah juga berjaya memenangi hadiah wang tunai RM15,000, piala iringan, cenderamata dan sijil penyertaan serta tambahan wang tunai RM10,000 bagi menunaikan haji. 




Terbaharu, Sofizah Mousin diumumkan johan tilawah pada Majlis Tilawah dan Menghafaz Al-Quran Peringkat Antarabangsa (MTHQA) Ke-62, malam ini.

Pada majlis yang diadakan di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur itu, Sofizah meraih 89.66 peratus, sekali gus membawa pulang hadiah wang tunai dan piala. 

Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, berkenan mengurniakan hadiah kategori qari, manakala hadiah kategori qariah dikurniakan Raja Permaisuri Agong, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah. 

Sementara itu, wakil Malaysia, Aiman Ridhwan Mohamad Ramlan, muncul naib johan qari dengan markah 88.83 peratus, manakala tempat ketiga dimenangi qari Indonesia, Muhammad Rizqon (88.34 peratus). 

Widadul Wahidah Mahamod dari Singapura pula muncul naib johan qariah, dengan markah 87.50 peratus dan tempat ketiga qariah Indonesia, Yuni Wulandari Hasim (87.49 peratus). 

Turut hadir pada majlis penutup MTHQA62, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Idris Ahmad. 

Bertemakan "Keluarga Malaysia Pemangkin Kemakmuran," majlis itu berlangsung selama enam hari bermula Rabu lalu, membabitkan 36 peserta dari 28 negara. 

MTHQA62 adalah yang pertama kali diadakan selepas dua tahun ditangguhkan akibat pandemik COVID-19. 

Bagaimanapun, hanya kategori tilawah yang dipertandingkan kali ini, manakala kategori hafazan akan kembali pada tahun hadapan. – BERNAMA
Previous Post Next Post