Maszlee imej via Malaysiakini |
Parlimen Simpang Renggam dikatakan bakal menjadi salah satu kerusi panas pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) selepas timbul spekulasi bahawa BN mungkin meletakkan calon heavyweight di kerusi berkenaan.
BN dikhabarkan akan meletakkan sama ada Setiausaha Agung Umno, Ahmad Maslan atau bekas Menteri Besar Johor Hasni Mohammad sebagai calon bagi menentang calon daripada PH, Mazlee Malik.
Justeru Maszlee yang juga penyandang ahli parlimen berkenaan berharap peratusan keluar mengundi kali ini lebih baik berbanding pilihan raya negeri pada Mac lalu.
Pada pilihan raya negeri lalu, Maszlee tewas di DUN Layang-Layang kepada calon BN, Abd Mutalip Abd Rahim dengan 2,815 undi.
Walaupun jumlah pengundi meningkat berikutan pendaftaran pengundi automatik dan Undi18, kira-kira 6,000 undi berkurang di kerusi itu pada PRN lalu berbanding ketika PRU14.
Bercakap kepada pemberita hari ini, Maszlee mengaitkan peratusan keluar mengundi yang rendah ketika itu disebabkan pelbagai faktor seperti wabak Covid-19 dan pengundi Cina yang tinggal di luar kawasan tidak berminat untuk pulang sejurus selepas perayaan Tahun Baru Cina.
Justeru dia berharap pengundi luar akan pulang menunaikan tangungjawab mereka pada PRU15 kali ini dan melakukan perubahan.
“Sila pulang mengundi, ini untuk menentukan masa depan anak-anak anda, negara, dan pendidikan anak cucu kita.
“Jika kita tidak kembali (mengundi) kita akan serahkan negara ini kepada mereka yang tak bertanggungjawab seperti dahulu,” katanya.
Maszlee menang di Simpang Renggam pada PRU 2018 atas tiket Bersatu dengan memperoleh 50.6 peratus undi.
Bekas menteri pendidikan itu meninggalkan Bersatu selepas Langkah Sheraton dan kemudian menyertai PKR.
Dia pernah bertanding sebagai calon PKR pada pilihan raya negeri Mac lalu dan dikhabarkan akan menjadi calon menteri besar daripada Pakatan Harapan.
Ditanya mengenai kemungkinan berdepan calon heavyweight dari BN, Maszlee berkata ia merupakan hak parti itu untuk meletakkan calon pilihan mereka.
Selain calon BN, Maszlee juga dijangka berdepan Liang Teck Meng dari Gerakan yang mewakili Perikatan Nasional.
Liang pernah menyandang kerusi Simpang Renggam dari 2008 sebelum tewas di kerusi pada PRU 2018.