Bantuan Awal Persekolahan sudah lari objektif asalnya - Pensyarah

 


Bantuan Awal Persekolahan (BAP) yang diumumkan oleh kerajaan di dalam Bajet 2023 tempoh hari dilihat sudah lari daripada tujuan asalnya. Perkara tersebut diulas oleh Pensyarah Pusat Kajian Pendidikan dan Kesejahteraan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr Anuar Ahmad di dalam satu hantaran Facebook.

"Bantuan Awal Persekolahan (BAP) telah dinaikkan dari RM100 kepada RM150. Bukan hanya untuk murid miskin tetapi untuk semua murid. 

"Oleh itu, peruntukan yang ditanggung kerajaan untuk BAP meningkat dari RM450 juta kepada RM825 juta. Meningkat hampir 100%," katanya.

Menurut beliau, tujuan asal BAP adalah untuk membantu murid-murid miskin dan keluarga sederhana yang mempunyai ramai anak. 

Keluarga yang berpendapatan RM3000 ke bawah layak menerima BAP. Atau ibubapa daripada keluarga sederhana yang mempunyai ramai anak juga layak untuk menerima bantuan awal persekolahan. 

"Bagi bajet tahun 2023, banyak berbeza. Semua murid layak menerima bantuan awal persekolahan, walaupun ibubapa mereka berpendapatan RM10,000 atau lebih sebulan. 

"Malah anak-anak yang ibubapa mereka yang berpendapatan RM100,000 atau lebih sebulan pun layak menerima bantuan? 

"Bayangkan ada ibubapa yang berpendapatan RM50,000 sebulan dengan hanya seorang anak? Apa makna bantuan RM150 pada mereka berbanding ibubapa yang mempunyai 4 anak yang berpendapatan RM3,000 sebulan?" soal beliau.

Beliau berkata Bantuan Awal Persekolahan bagi tahun 2023 telah lari dari maksud dan tujuan asalnya. Kerajaan akan berbelanja besar atas tujuan dan matlamat yang sudah tidak jelas. 

Menurutnya lagi, Bantuan Awal Persekolahan adalah satu bentuk sokongan kerajaan untuk mengelakkan keciciran pendidikan khususnya di kalangan murid-murid miskin atau keluarga sederhana yang mempunyai ramai anak. 

"Kita selalu mendengar kisah ada kanak-kanak yang tidak dapat ke sekolah kerana tiada uniform sekolah, tiada peralatan pembelajaran, berhadapan masalah pengangkutan ke sekolah dan ada murid-murid yang ponteng sekolah kerana terpaksa menjaga ibubapa atau ahli keluarga yang sakit di rumah. 

“Ketidakhadiran anak-anak ke sekolah atas berbagai sebab dan halangan. Mereka inilah yang perlu dibantu dan disokong. 

"Jadi apa rasionalnya BANTUAN Awal Persekolahan pada murid-murid yang ibubapa mereka berpendapatan puluhan ribu sebulan? 

“Bukankah tujuan bantuan awal persekolahan telah tersasar dari matlamat asalnya?" katanya lagi. 

Beliau berkata, kerajaan sepatutnya meneliti semula cara bantuan awal persekolahan ini diagihkan. 

“Berilah pada murid-murid yang sangat memerlukan bantuan untuk mengelakkan mereka keciciran pendidikan.   

“Keluarga kaya telah mendapat 'imbuhan' bantuan kerajaan dalam bentuk yang lain. Misalnya subsidi minyak. Bayangkan sebuah keluarga kaya yang mempunyai tiga buah kereta menerima subsidi minyak. 

"Pasti nilai subsidi minyak tersebut jauh lebih tinggi dari nilai RM150 Bantuan Awal Persekolahan. Apakah itu masih tidak mencukupi? Masih mahukan juga Bantuan Awal Persekolahan?"jelasnya lagi. 

Beliau berkata, ada kanak-kanak keluarga miskin yang memerlukan bantuan lebih dari sekadar RM150. Khususnya anak-anak bekeperluan khas, anak-anak yang dipelihara oleh ibu tunggal yang tiada pekerjaan tetap atau anak-anak yang mempunyai masalah kesihatan berpanjangan. 

Mereka inilah yang sepatutnya menerima bantuan yang lebih jika kerajaan mahu sediakan lebih peruntukan untuk Bantuan Awal Persekolahan. 

"Harapnya akan ada ibubapa keluarga kaya berhati mulia yang akan menyumbangkan kembali bantuan awal persekolahan RM150 yang diterima anak-anak mereka kepada pihak sekolah untuk disedekahkan kepada murid-murid yang miskin dan sangat memerlukan bantuan persekolahan," katanya lagi.
Previous Post Next Post