Pengalaman menghadapi COVID-19 menyaksikan sektor pendidikan negara memerlukan persediaan berterusan dalam menghadapi sebarang kemungkinan. - Gambar hiasan |
KUALA LUMPUR: Bajet 2023 yang akan dibentangkan hari ini diharap mampu memperuntukkan jumlah yang lebih tinggi kepada sektor pendidikan berbanding tahun lalu.
Menurut Dekan Fakulti Pendidikan Universiti Putra Malaysia (UPM), Professor Madya Soaib Asmiran, ia penting kerana sistem pendidikan negara perlu bergerak terus ke hadapan seiring dengan keperluan semasa terutamanya dalam menghadapi era pendigitalan ketika ini.
Selain itu katanya aspek infrastruktur juga tidak boleh diketepikan dalam memastikan pelajar dan tenaga pengajar sentiasa berada dalam keadaan yang kondusif dan berdaya saing.
Justeru jelasnya, segala keperluan haruslah diperkemaskan dari semasa ke semasa dalam menghadapi pelbagai cabaran perubahan atau segala kemungkinan yang akan ditempohi pada masa akan datang.
"Kalau kita lihat perubahan itu akan berlaku, hanya satu perkara yang akan kekal iaitu perubahan. Jadi dari segi penilaian, dari segi pengajaran ini semua akan berlaku perubahan. Jadi kita kena sentiasa bersedia dari segi perubahan yang berlaku.
"Apabila pandemik (COVID-19) melanda pada tahun 2020 kita tidak bersedia. Kita tidak pernah jangkakan perubahan yang berlaku atau gangguan kepada pendidikan itu sendiri. Selama dua tahun kita menghadapi pelbagai masalah dalam konteks pendidikan. Jadi, ia membawa kepada keciciran dari segi jangka pendek dan jangka panjang," katanya kepada Astro AWANI pada Jumaat.
Kerajaan katanya, setakat ini telahpun melakukan beberapa perubahan terhadap sistem pendidikan termasuk proses pembelajaran yang perlu kepada perubahan digital namun dalam masa yang sama perlu turut melihat kepada aspek keperluan infrastruktur yang ada.
Malah pengalaman dalam menghadapi COVID-19 sebelum ini juga turut memerlukan sistem pendidikan ketika ini menyediakan langkah dan persediaan yang lebih mantap dalam mengadapi perubahan di luar jangka agar kesan yang mungkin dihadapi nanti tidak begitu besar.
Jelasnya lagi, infrastruktur pendidikan memerlukan penambahbaikan yang harus ditingkatkan seiring dengan keperluan semasa termasuk memastikan ia sentiasa relevan dan kompentetif dengan industri pekerjaan dalam menjamin masa depan pelajar.
Pada 2022, Kementerian Pendidikan Malaysia menerima peruntukan terbesar iaitu sejumlah RM52.6 bilion atau 16 peratus daripada keseluruhan anggaran perbelanjaan Persekutuan.
Ia hampir 80 peratus daripada jumlah diterima kementerian yang juga penerima peruntukan terbesar disediakan kerajaan berbanding sektor lain, digunakan bagi tujuan peruntukan mengurus pendidikan, manakala selebihnya untuk pembangunan pendidikan.