Bajet 2023 | KPM fokus tiga teras utama


Putrajaya: Sebanyak 11 inisiatif dengan tiga teras utama berkaitan murid, guru dan infrastruktur membabitkan peruntukan RM6.8 bilion adalah senarai yang diharapkan yang sudah dikemukakan Kementerian Pendidikan (KPM) untuk Bajet 2023 yang akan dibentangkan Jumaat ini.

Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin, berkata antara inisiatif berkenaan ialah peranti guru ke arah pendigitalan pendidikan, menaikkan kadar Rancangan Makanan Tambahan (RMT) dan infrastruktur bagi sekolah pendidikan khas.

“Memandangkan kita bergerak ke arah pendigitalan pendidikan, peranti untuk guru adalah satu komponen penting untuk mendigitalkan pendidikan, termasuk menggunakan inovasi dan kreativiti dalam pengajaran dan pembelajaran,” katanya selepas melawat Sekolah Kebangsaan Putrajaya Presint 9 (2) semalam. 
Radzi berkata, inisiatif peranti guru membabitkan kos RM2.8 bilion, perlu diberi perhatian khusus kerana mereka tidak disediakan ‘stesen kerja' atau komputer riba, seperti kakitangan awam yang lain. 

Tingkat kadar RMT 

Radzi berkata, KPM juga memohon untuk kadar RMT yang sekarang ini RM2.50 dinaikkan kepada kadar yang bersesuaian, dengan mengambil kira situasi semasa. 

Radzi berkata, tumpuan kepada infrastruktur untuk murid berkeperluan pendidikan khas juga ditekankan, supaya golongan berkenaan dapat bersama anak lain dalam arus perdana dan kecekapan yang sama. KPM turut memohon peruntukan khusus untuk menggalakkan pendaftaran mata pelajaran Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM), yang dilihat semakin hari semakin menurun. 

“Enrolmen STEM memerlukan intervensi menyeluruh dan peruntukan khusus untuk perkara berkaitan STEM, supaya enrolmen pada masa pelajaran STEM terus ditingkatkan bagi menyediakan modal insan masa hadapan, yang mempunyai kepakaran supaya Malaysia dapat bersaing pada peringkat dunia,” katanya. 

Selesai isu kantin 

Dalam perkembangan berkaitan, Radzi berkata KPM juga sedang merangka penyelesaian menyeluruh isu kantin sekolah yang tidak dapat menampung kapasiti pelajar, terutama di sekolah ramai murid. 


KPM katanya, menyedari ada antara sekolah berkapasiti padat ini terpaksa menjadualkan lima sesi rehat yang bermula seawal jam 8.30 pagi berikutan kantin sekolah tidak mampu menampung bilangan murid yang datang serentak. 

Beliau berkata, pihaknya mendapat rungutan daripada ibu bapa mengenai keadaan itu. "Jika terlalu awal, selang masa antara rehat hingga kembali ke rumah itu panjang. Bagi mendapat pandangan kita turun melihat supaya pendekatan dilaksanakan nanti tidak menyebabkan waktu rehat terlalu awal," katanya.

Radzi berkata, kesesakan berlaku di sekolah yang mengalami peningkatan kepadatan murid sedangkan kantin hanya mampu menampung kapasiti asal jumlah pelajar.

“Sekolah biasa umumnya kapasiti kantin dapat menampung (jumlah pelajar). Perhatian khu sus kepada sekolah yang menga. lami peningkatan jumlah pelajar tetapi kantin agak kecil sewaktu dibina, supaya tidak berlarutan.

"Ia usaha untuk menambah baik proses di sekolah bagi memudahkan pengoperasian dan meningkat kecekapan serta memudahkan pengurusan sekolah selain memudahkan murid,” katanya.

Ditanya jika KPM akan mempertimbangkan kebenaran murid makan dalam bilik darjah terutama mereka yang membawa bekalan dari rumah, Radzi berkata, ia memerlukan pemantauan yang menuntut penggunaan sumber manusia.

Mengakui ia pernah dilaksanakan sewaktu penularan COVID-19 sedang memuncak, satu penyelesaian menyeluruh dan kekal diperlukan untuk menangani situasi berkenaan.

 

Previous Post Next Post