Foto ihsan Bomba |
MARUDI-- Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Marudi melakukan rondaan dan pemantauan banjir di Kampung Long Bemang, Sungai Apoh, Baram dan Sekolah Rendah Kebangsaan (SK) Long Bemang, Sungai Apoh Baram di sini, hari ini.
Komander Operasi, PPgB Maureen Sim Ah Lian berkata, rondaan dilakukan mulai jam 9.05 pagi hingga jam 11 pagi itu turut disertai pihak Lembaga Sungai-Sungai Sarawak (LSS) dan Persatuan Bomba Sukarela Long Bemang.
Menurutnya, pemantauan di Kampung Long Bemang telah dijalankan oleh pasukan pemantau, didapati paras air Sungai Apoh masih dalam trend menaik manakala bacaan air di Long Bemang adalah 4.9 kaki.
"Pemantauan ke SK Long Bemang juga telah diadakan oleh pasukan Pemantau. Sekolah tidak beroperasi kerana bangunan kelas dimasuki air dan tiada perpindahan dilakukan," katanya dalam kenyataan hari ini.
Katanya,anggota Bomba bersama anggota PBS Kampung Long Bemang dan anggota LSS membantu penduduk kampung untuk mengalih dan mengangkat barang ke tingkat atas rumah kediaman mereka.
"Setakat ini, semua penduduk kampung yang terjejas berpindah ke tingkat atas rumah masing-masing, tiada pemindahan dilakukan.
"Selesai pemantauan, pasukan Bomba bergerak ke kampung Long Panai untuk pemantauan di kampung tersebut," ujarnya.
Katanya, semua penduduk dinasihatkan untuk terus dalam langkah berjaga-jaga jika berlaku banjir.
Info dan foto ihsan Balai Bomba & Penyelamat Marudi