Tragedi feri karam Sungai Kerian korbankan 17 murid terus diingati

Sabariah Tan Abdullah memberi penghormatan kepada mendiang adiknya yang terkorban pada 13 September 1972 di Sungai Kerian. 

PARIT BUNTAR: Semalam genap 50 tahun tragedi feri karam di Sungai Kerian di sini, namun bagi waris mangsa yang terkorban serta mangsa yang terselamat, kejadian itu terus segar dalam ingatan bagai baru semalam berlaku.

Tragedi pada pagi 13 Sep 1972 itu, yang mengorbankan 17 murid Sekolah Rendah Methodist Parit Buntar, lapan pelajar Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan Cina Kerian dan dua orang awam tercatat sebagai antara peristiwa hitam dalam sejarah negara.

Seorang mangsa yang terselamat, Lai Joo Koi, 65, berkata sewaktu kejadian, abangnya Lai Joo Boo, 67, yang berada di luar feri menjerit supaya dia segera keluar dari bas dan berenang ke tebing untuk menyelamatkan diri.

"Dia jerit sangat kuat dan nasib baik dia pandai berenang lalu bantu saya ke tebing sungai. Kejadian berlaku sekelip mata dan feri itu sudah senget lalu terbalik.

"Arus sungai begitu kuat dan laju. Kami semua di dalam bas panik dan ada rakan sekelas yang tidak dapat selamatkan diri. Walaupun masa itu saya baru darjah dua, tetapi saya masih ingat sampai sekarang," kata jurujual produk kesihatan itu kepada Bernama.

Katanya kejadian itu telah mengeratkan hubungan mereka adik-beradik dan tetap dikenang sebagai peristiwa mengejutkan dalam kehidupan mereka sekeluarga.

Sementara itu, A Perumal, 73, anak lelaki kepada pemandu feri yang karam, S Annamalai, berkata pemergian ayahnya sentiasa dikenang dan kisah keberaniannya membantu menyelamatkan tujuh pelajar tanpa mengira bangsa serta agama dalam kejadian itu sering diceritakan dari satu generasi ke generasi supaya kekal dalam kenangan.

"Tipulah kalau tidak sedih bila terkenang. Waktu kejadian saya berumur 23 tahun dan sudah bekerja. Ada orang maklumkan ayah sudah tiada selepas tenggelam ketika selamatkan orang lain.

"Saya terharu kerana ramai bagi sumbangan termasuk seorang ahli perniagaan yang memasukkan duit setiap bulan kepada kami kerana mengenang jasa dan pengorbanan ayah," katanya ketika ditemui Bernama di tapak memorial tragedi di Taman Pinggiran Sungai Kerian semalam.

Mendiang Annamalai dikatakan bertindak menyelamatkan mangsa termasuk pelajar sekolah dalam kejadian yang berlaku ketika hujan lebat dan arus sungai sangat kuat hingga menyebabkan tali kabel feri antara kedua-dua tebing putus.

Perkhidmatan feri yang menghubungkan Parit Buntar dengan Bandar Baharu itu dihentikan serta-merta selepas tragedi menyayat hati itu.

Sementara itu, seorang lagi waris, Tan Kok Hock, 68, kehilangan adik lelakinya, Tan Kooi Se yang ketika itu dalam perjalanan ke sekolah.

"Saya di Pulau Pinang dengan datuk dan nenek, manakala adik dan abang bersama ayah di sini. Masa itu hujan lebat tetapi adik saya tetap mahu ke sekolah dengan menaiki van ke jeti.

"Kami kemudian dimaklumkan feri tenggelam dan adik ada di dalamnya. Abang saya, Tan Kok Hock, 70, terselamat kerana kebetulan sampai awal dengan menaiki basikal ke jeti manakala adik pula di giliran kedua," katanya.

Dia yang kini menggunakan nama Sabariah Tan Abdullah berkata kejadian itu perit untuk diingati, namun mereka menerima suratan takdir.

Sementara itu, Yang Dipertua Majlis Daerah Kerian Helmi Yusof ketika ditemui berkata selepas pembinaan tugu peringatan di lokasi kejadian, pihaknya merancang untuk membina galeri pada tahun depan yang memaparkan maklumat berkaitan tragedi itu agar ia terus diingati.

Bagaimanapun, menurutnya mereka memerlukan bahan arkib, data serta gambar daripada orang ramai atau pihak tertentu untuk dijadikan sebagai bahan pameran apabila galeri itu dibuka kelak.

- BERNAMA

Previous Post Next Post