Tempoh guru berkhidmat di pedalaman perlu dihadkan

GURU berhadapan gangguan emosi sekiranya bertugas terlalu lama di kawasan pedalaman. – GAMBAR HIASAN

SAUDARA PENGARANG,

KEMENTERIAN Pendidikan perlu melihat dan mengehadkan tempoh masa guru bertugas di sesebuah sekolah pedalaman agar tidak melebihi 10 tahun. Hal ini penting untuk memberi keselesaan kepada guru tersebut.

Semua sudah sedia maklum untuk seorang guru yang bertugas di sekolah di kawasan pedalaman bukanlah suatu perkara yang mudah. Guru-guru terpaksa menempuh perjalanan yang panjang dengan menaiki pacuan empat roda, menaiki bot, jalan kaki selama berjam-jam dan pelbagai cabaran lagi yang perlu ditempuhi. Malah, guru terpaksa menggalas beg pakaian dan juga bekalan makanan.

Cabaran di sekolah pula bukan sikit yang perlu dihadapi oleh guru. Kuarters guru yang kurang memaksa guru duduk berkongsi beramai-ramai. Cabaran berhadapan dengan murid juga tidak kurang mencabar. Guru terpaksa mendalami bahasa mereka terutama di sekolah yang mempunyai pelajar dalam kalangan Orang Asli.

Elaun yang diterima guru pula habis untuk membayar pengangkutan dan membaiki kenderaan yang rosak akibat jalan yang teruk. Emosi mereka juga terganggu sekiranya sudah terlalu lama di sesebuah sekolah pedalaman. Hanya rakan-rakan pengubat duka. Semangat guru juga semakin menurun jika terlalu lama di situ. Datang sekali sekala memang seronok dengan panoramanya tetapi sekiranya bertahun-tahun akan merubah segalanya.

Jadi, adalah wajar guru melebihi 10 tahun digerakkan ke sekolah lain supaya mereka mendapat suasana baharu di sekolah baharu. Bukan bermakna semuanya perlu digerakkan ke bandar tetapi gerakkanlah ke sekolah yang bersebelahan yang berhampiran dengan pasangannya supaya tugas mereka sebagai pendidik dapat dilaksanakan dengan baik tanpa gangguan emosi. -UTUSAN

Insan Prihatin | Pahang

Previous Post Next Post