Imej hiasan |
"Ibu, esok cikgu kata ada latihan sukan, kena pakai baju sukan. Seronoknya!".
"Mama, esok ada Pendidikan Jasmani (PJ), pakai baju PJ kan? Seronoknya!". Begitulah keterujaan anak-anak bila perlu memakai baju sukan ke sekolah.
Ketika ini, sekolah di seluruh negara sedang rancak menganjurkan pelbagai aktiviti sukan sempena Karnival Sukan Negara. Ia selaras dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan yang memfokuskan kepada pendidikan sebagai usaha berterusan untuk lebih memper kembangkan potensi individu.
Justeru, aktiviti hari sukan sekolah adalah usaha yang baik dan sangat wajar diteruskan. Umumnya pula bagi mengikuti kelas Pendidikan Jasmani, murid juga diberikan kelonggaran untuk memakai pakaian sukan ke sekolah. Sebenarnya, jika dilihat reaksi anak sendiri, mereka lebih teruja untuk menyarung pakaian sukan ke sekolah walaupun tiada mata pelajaran itu diajar pada hari berkenaan.
Mengapa pakaian sukan menjadi pilihan dan sebenarnya adakah relevan ia digunakan setiap hari?
Baju sukan lebih relevan
Sebenarnya, kalau kita melihat kepada beberapa faktor, pemakaian baju sukan ke sekolah adalah lebih relevan dan sesuai pada masa kini. Ini berdasarkan beberapa sebab antaranya keadaan cuaca panas di negara ini. Pakaian daripada fabrik kapas dilihat lebih sesuai dan mesra pengguna. Fabrik ini mampu menyejukkan badan dan menyerap peluh dengan mudah.
Ini tentu dapat memenuhi keperluan murid yang aktif bergerak dan menjalankan aktiviti fizikal. Mereka akan sangat mudah berpeluh pada cuaca yang panas. Oleh itu, pemakaian fabrik kain kapas sangat sesuai dan memberikan keselesaan kepada murid sepanjang mereka berada di sekolah.
Umum juga mengetahui mengenai sifat semula jadi murid terutama yang bersekolah rendah. Mereka gemar bermain dan lasak melakukan aktiviti fizikal. Dalam hal ini, pemakaian baju sukan lebih tepat. Ia tidak cepat kotor, malah dari satu segi kerana sifatnya yang tidak perlu digosok, sangat membantu ibu membuat persediaan harian anak.
Dalam situasi itu, mungkin seragam sekolah sedia ada boleh dikemas kini berdasarkan keperluan semasa dan kepentingan umum. Bukan hendak menolak sepenuhnya kepentingan baju sekolah sedia ada.
Namun, jika kita melihat amalan pemakaian baju sekolah di negara lain juga sudah banyak yang memilih baju sukan sebagai pakaian seragam harian.
Justeru, mungkin tidak salah untuk pihak Kementerian Pendidikan mempertimbangkan pema kaian baju sukan ke sekolah terutama kepada murid di sekolah rendah.
Susulan itu, sebagai ibu saya melihat pemakaian baju sukan ke sekolah boleh dipertimbangkan. la sangat relevan dan wajar, malah masih mengambil kira aspek keseragaman dan pematuhan kepada etika pemakaian ke sekolah.
Nursyuhada' Ab. Wahab | Fakulti Pengajian Bahasa Utama, Universiti Sains Islam Malaysia