Pakaian beragam Hari Kemerdekaan bebankan ibu bapa?

Imej hiasan

PETALING JAYA – Trend pihak sekolah dan tadika menganjurkan pakaian cantik dan bertema sempena Hari Kemerdekaan dilihat membebankan sesetengah ibu bapa.

Menerusi satu perkongsian di laman Facebook, seorang ibu memaklumkan walaupun ada sesetengah pelajar tidak beria dengan trend itu, tetapi apabila melihat kawan mereka mengenakan pakaian berkenaan secara sendiri mereka akan menjadi segan.

“Mereka akan segan dengan sendirinya, malu nak ke sekolah. Sekolah pula dah jadi seperti kewajipan pakaian tercantik ini.

“Akhirnya, terpacak dalam kepala anak-anak ini apabila 31 Ogos adalah hari melaram baju, mana erti sebenar kemerdekaan, sejarah sebenar kemerdekaan pun tak dapat jawab,” soal wanita itu.

Pada masa sama, wanita itu berkata, sambutan kemerdekaan di sekolah ketika ini sudah jauh berbeza dengan zaman sebelum ini di mana akan diadakan pertandingan kuiz kemerdekaan ataupun pertandingan mewarna.

Kata wanita itu lagi, sebenarnya banyak aktiviti lain boleh dilakukan sempena sambutan hari kemerdekaan contohnya tayangan cerita-cerita atau filem berkisarkan kemerdekaan, perarakan membawa bendera, belakon cerita kisah kemerdekaan dan lain-lain lagi.

“Bukan semata-mata pertandingan baju tercantik, sehingga membebankan ‘poket’ ibu bapa terutamanya selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sebelum ini.

“Keluarga yang berduit oklah, jika yang cukup-cukup makan, cukup-cukup pakai nak beli baju untuk pakai setahun sekali itu kena fikir banyak kali dahulu,” katanya.

Susulan perkongsian itu, rata-rata pengguna bersetuju dengan luahan wanita tersebut dan mereka turut berkongsi kisah yang sama.

“Jangan kata baju, ada mak bapa nak beli bendera untuk anak-anak pun terkebil-kebil, esok merdeka, malam ni pergi cari,” tulis Habimo.

Turut meninggalkan komen adalah seorang lagi pengguna dikenali sebagai Ahmad Fuad Mohamad Zawadi.

“Memanglah tiada paksaan, tapi hati anak-anak teringin bila tengok kawan-kawan pakai,” ujarnya. -KOSMO! ONLINE

Previous Post Next Post