Rakaman video menunjukkan pelajar itu terpinga-pinga dan tidak membantu bapanya yang terjatuh dari motosikal. |
PETALING JAYA: Seorang murid perempuan di sebuah sekolah menengah di Besut, Terengganu yang hanya melihat dan tidak membantu bapanya yang terjatuh dari motosikal sehingga dikecam warganet dalam satu vieo tular baru-baru ini sebenarnya adalah remaja lembam.
Dalam video itu yang dimuat naik pengguna dikenali sebagai jai-99 di Tiktok, menunjukkan seorang lelaki menghantar anak perempuannya di sekolah itu dengan menaiki sebuah motosikal.
Ketika mahu turun dari motosikal berkenaan, lelaki itu tiba-tiba terjatuh. Anaknya yang berada berhampiran dilihat terpinga-pinga dan tidak melakukan apa-apa sebelum seorang lelaki datang membantu.
Tindakan murid itu menyebabkan dia menjadi mangsa kecaman warganet dan ada pula yang menuduh dia malu kerana bapanya hanya memiliki motosikal.
Bagaimanapun, Sekolah Menengah Kebangsaan Nasiruddin Shah dalam satu kenyataan memberitahu, murid itu sebenarnya lembam dan remaja itu juga tidak boleh membaca.
“Mohon panjangkan perkara ini kepada pemilik TikTok ini untuk segera padamkan video ini dan membuat permohonan maaf secara terbuka kepada keluarga berkenaan. Ia amat mengguris hati kami.
“Murid kita ini pelajar lembam dan lambat bertindak balas bila disuruh serta tak boleh membaca pun. Kasihan pelajar ini semua komen mengutuk kononnya malu dengan ayahnya,” kata kenyataan itu.