KPM harap kadar baharu RMT dipertimbang dalam Bajet 2023


PUTRAJAYA, 23 Sept - Kadar baharu Rancangan Makanan Tambahan (RMT), peranti untuk guru dan infrastruktur bagi sekolah pendidikan khas, antara permohonan yang dikemukakan Kementerian Pendidikan (KPM) kepada Kementerian Kewangan (MOF) untuk dimasukkan dalam Bajet 2023 yang akan dibentangkan 7 Okt ini. 

Menteri Kanan Pendidikan Datuk Dr Radzi Jidin berkata pihaknya berpandangan kadar RMT perlu disemak semula memandangkan kadar RM2.50 pada masa kini dilihat sudah lama tidak disemak dan peningkatan kos yang perlu ditanggung pengusaha kantin. 

"Kita mohon supaya kadar RMT dilihat semula, ditambah baik kerana kita sedar di luar sana ramai pengusaha kantin yang sampaikan tentang perkara ini kepada kita, itu merupakan satu perkara yang kita mohon untuk dipertimbangkan oleh MOF dalam bajet. 

"Bila berlaku peningkatan kos itu antara perkara yang mereka (pengusaha kantin) sampaikan bahawa jumlah ini kecil dan impaknya lebih ketara untuk sekolah yang murid tak ramai, kalau ramai buffer lebih besar. Sekolah dengan murid tak ramai dengan kadar tersebut ini yang lebih terkesan," katanya kepada media selepas Majlis Wadah Aspirasi Menteri Kanan Pendidikan di sini hari ini. 

Radzi berkata KPM juga berharap agar permohonan peranti untuk guru dapat dipertimbangkan untuk dimasukkan dalam Bajet 2023 memandangkan sistem pendidikan negara sedang bergerak ke arah digitalisasi. 

"Sebelum ini kita lihat kakitangan awam yang lain umumnya ada disediakan ‘workstation’ atau komputer riba kepada mereka kalau yang bekerja di pejabat, namun begitu dalam konteks guru ini, tiada peranti atau komputer disediakan. 

"Bila bercakap tentang digitalisasi kita ambil kira semua pihak termasuk komponen paling utama iaitu guru-guru," katanya. 

Dalam pada itu, Radzi berkata KPM juga berharap agar kerajaan dapat memberi perhatian terhadap keperluan murid bekeperluan khas terutamanya melibatkan infrastruktur sekolah pendidikan khas yang dilihat ketinggalan jauh berbanding negara lain. 

"Kita sedar pendidikan khas ini ada jurang dengan negara yang lebih terkedepan dan kita masih jauh sebab itu kita mohon peruntukan untuk lonjakkan pendidikan khas ini ke tahap yang lebih tinggi. 

"Jika dahulu kadang-kadang sekolah berkeperluan khas ini tak banyak infrastruktur, ada empat infrastruktur khas itu minimum, jadi ini merupakan satu daripada komponen yang kita minta lihat diberi perkara khusus," katanya. - BERNAMA

 

Previous Post Next Post