PETALING JAYA: Seorang guru sekolah rendah hari ini diperintahkan oleh mahkamah majistret di Kuching untuk diikat jamin RM1,000 atas tindakan yang dianggap tidak wajar, termasuk meminta seorang murid perempuan memanggilnya “ayah”.
Majistret Zaiton Anuar memerintahkan guru berusia 52 tahun itu dikenakan bon selama enam bulan mengikut Seksyen 67 Kanun Tatacara Jenayah.
Ikatan damai adalah di mana sesorang itu berjanji untuk berkelakuan baik dan tidak membuat sebarang gangguan.
Menurut New Sarawak Tribune, tertuduh, seorang guru sains dan pendidikan jasmani, telah mengarahkan murid berusia 12 tahun itu berjumpanya di pejabat di sekolah itu pada 10 Ogos jam 4.40 petang.
Dia telah meminta murid itu menutup pintu di belakangnya dan terus menghadiahkannya sekotak bunga plastik dan mainan. Dia juga meminta murid itu untuk memanggilnya "ayah", bukannya "cikgu".
Kejadian itu dimaklumkan kepada ibu mangsa oleh rakan beliau. Murid perempuan tersebut turut dilaporkan telah memberitahu empat rakannya mengenai kejadian itu.
Ibu mangsa kemudian membuat laporan polis dan guru itu ditahan di sekolah rendah itu pada 24 Ogos lalu.
Pendakwaan dilakukan oleh Inspektor Adzmei Ahmad. Guru tersebut tidak diwakili oleh mana-mana peguam.