Dibelasah hampir pengsan, murid trauma ke sekolah

Norwani menunjukkan kesan bengkak di telinga anaknya yang dipercayai dibelasah rakan sebaya di sekolah pada Isnin lepas.

KUALA KANGSAR - Seorang murid lelaki Tingkatan 5 sebuah sekolah di sini trauma untuk ke sekolah selepas dipercayai dibelasah hingga hampir pengsan oleh rakan sebaya dalam satu kejadian, Isnin lepas.

Insiden sekitar jam 10.30 pagi itu, mangsa berusia 17 tahun dan bakal menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) mendakwa telah didatangi sekumpulan pelajar ketika berada dalam tandas sekolah.

Seorang daripada murid terbabit yang tidak berpuas hati dengan mangsa akibat satu perselisihan faham telah bertindak mencekik, memukul hingga terjatuh dan menendang mangsa berkali-kali sambil diperhatikan yang lain.

Ibu mangsa, Norwani Abdul Wahib, 41, berkata, kejadian itu hanya diketahui pada malam hari kejadian selepas anaknya itu menangis akibat kesakitan dan minta dihantar ke hospital.

Menurutnya, pada awalnya, anaknya tidak mahu menceritakan kejadian itu, namun dipaksa untuk mendedahkan hal sebenar.

"Saya diberitahu anak saya dipukul hingga lembik dan hampir tidak sedarkan diri dalam tandas sekolah.

"Kawan-kawan yang menemuinya telah membantunya sedar kembali, mereka tidak melaporkan kejadian itu kepada pihak sekolah kerana bimbang akan dimarahi guru," katanya ketika ditemui pada Rabu.

Norwani berkata, laporan polis berhubung kejadian itu telah dibuat pada lewat malam Isnin dan mangsa yang merupakan anak sulung daripada empat beradik itu telah dihantar untuk pemeriksaan lanjut di hospital.

Katanya, pemeriksaan kesihatan mendapati, terdapat kesan lebam dan bengkak di beberapa bahagian tubuh badan, muka dan telinga serta kecederaan tisu lembut di dada.

"Kejadian itu turut mengakibatkan pendengaran anak saya terjejas dan doktor sarankan buat pemeriksaan lanjut di Hospital Taiping.

"Perkara yang lebih saya kesalkan apabila emosi anak saya kini tidak stabil, dia jadi takut apabila berada di luar dan trauma untuk ke sekolah lagi," ujar Norwani.

Dia yang bekerja sebagai peniaga berkata, pengurusan sekolah telah memanggil mereka dan keluarga pelajar terlibat bagi menyelesaikan kes itu, namun tidak menemui jalan penyelesaian.

Jelasnya, dalam pertemuan itu, keluarga murid terbabit langsung tidak menyatakan permohonan maaf dan hanya menyalahkan anaknya punca kejadian itu berlaku.

"Selama lima tahun dia belajar di sekolah itu, belum pernah sekalipun kejadian seperti ini berlaku.

"Saya hanya berharap siasatan dapat dilakukan secara adil di pihak polis dan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) dalam kes ini," luahnya.

Previous Post Next Post