CUEPACS ulangi tuntutan bonus sebulan gaji penjawat awam

SEREMBAN: CUEPACS memohon kerajaan mempertimbangkan bonus, sekurang-kurangnya sebulan gaji kepada penjawat awam dalam Bajet 2023 yang dijadual dibentangkan di Dewan Rakyat pada 7 Oktober ini.

Presidennya, Datuk Adnan Mat, berkata perkara itu perlu menjadi antara fokus dalam bajet untuk tahun depan memandangkan keadaan penjawat awam yang sedang berdepan beban kenaikan harga barang makanan.

Walaupun kerajaan sudah mengumumkan Bantuan Khas Kewangan (BKK) baru-baru ini, katanya, CUEPACS merayu kerajaan untuk memperuntukkan bonus kerana sudah 11 tahun penjawat awam tidak diberikan insentif berkenaan.

"Kami sudah melaksanakan tugas sebaik mungkin dari segi penyampaian perkhidmatan kepada rakyat termasuk ketika 9 Mei 2018 (pilihan raya) dan 1 Februari 2020 (pertukaran kerajaan). Kami terus kekal beri perkhidmatan terbaik kepada rakyat dan negara.

"Tiada penjawat awam yang meninggalkan tugas, sebaliknya kami menjadi orang hadapan dalam menghadapi pandemik COVID-19 dan bencana alam, selain menjaga ketenteraman negara.

"Jadi kami tuntut dalam bajet kali ini, diberikan bonus walaupun BKK sudah diumumkan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Perwakilan Tritahunan CUEPACS Negeri Sembilan Sesi 2022-2025, di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Setiausaha Agong CUEPACS, Abdul Rahman Mohd Nordin dan Pengerusi CUEPACS Negeri Sembilan, Muhammad Baddri Ahmad.

Adnan berkata, kesatuan itu berharap kerajaan dapat memberi bonus minimum sekurang-kurangnya sebulan gaji.

"Kami sudah lama tunggu perkataan (bonus) ini, tapi tak kunjung tiba, sudah 11 tahun tunggu. Kami faham tapi pada masa sama, kami juga perlu ihsan daripada kerajaan supaya mampu meningkatkan motivasi dalam pekerjaan.

"Kami yakin kerajaan mampu kerana Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sangat biasa dengan penjawat awam. Kami berharap bonus sebulan gaji kepada penjawat awam," katanya.

Previous Post Next Post