Ipoh: Kes cubaan culik seorang murid perempuan yang didakwa berlaku di hadapan Sekolah Kebangsaan (SK) Pengkalan, Taman Pinji Mewah di sini, yang tular di media sosial adalah tidak benar dan hanya rekaan kanak-kanak berkenaan.
Ketua Polis Perak, Datuk Mohd Yusri Hassan Basri berkata, perkara itu disahkan selepas hasil siasatan terperinci terhadap kanak-kanak berusia 9 tahun itu bersama beberapa saksi.
"Kita sudah menyiasat perkara ini sedalam-dalamnya dan kita memanggil lima saksi iaitu rakan sebaya, dua pengawal keselamatan dan pemandu van yang menghantar kanak-kanak itu.
"Kita mendapati cerita dan laporan yang mengatakan cubaan diculik adalah tidak benar sama sekali.
"Kanak-kanak ini hanya mereka-reka cerita kepada ibunya kerana terpengaruh dengan kejadian di luar negara yang ditularkan di media sosial berkenaan kejadian kanak-kanak ditangkap, diculik dan dijual organ," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Perak di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Mohd Yusri berkata, susulan itu pihak polis turut memanggil kanak-kanak berkenaan untuk disoal siasat.
"Dia terpengaruh dengan perkara itu sebelum mereka cerita kepada ibunya menyebabkan ibunya membuat laporan polis kerana bimbang keselamatan anaknya.
"Katanya, dia ingin melihat bagaimana polis mengambil tindakan dan melakukan siasatan (berhubung kes culik)," katanya.
Beliau berkata, polis turut mengesahkan van putih yang dikaitkan dengan kes cubaan culik yang turut tular di media sosial adalah tidak benar.
"Ia sebenarnya adalah van membawa pekerja. Orang ramai ingat van putih dan terus ingat adalah suspek (mahu cuba menculik)," katanya.
Katanya, pihak polis masih lagi menjalankan siasatan lanjut dan belum mengambil sebarang tindakan terhadap mana-mana pihak.
Semalam, media melaporkan Polis Perak menubuhkan pasukan siasatan khas bagi menyiasat kes tular berhubung cubaan menculik murid sekolah di hadapan Sekolah Kebangsaan (SK) Pengkalan Taman Pinji Mewah, di sini pada 23 September lalu.
Mohd Yusri dilaporkan berkata, polis menerima laporan mengenai cubaan melarikan murid di sekolah itu daripada ibu mangsa kira-kira jam 9.07 malam hari yang sama.
Terdahulu, tular gambar laporan polis dimuat naik oleh seorang lelaki mendakwa anak perempuan sulungnya hampir menjadi mangsa culik di hadapan SK Pengkalan Pinji Mewah pada Jumaat lalu.