KOTA KINABALU: Seorang bekas pelajar memberitahu Mahkamah Tinggi di sini bahawa guru Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Taun Gusi, di Kota Belud yang didakwa tidak masuk ke kelas untuk mengajar selama tujuh bulan, turut membocorkan soalan peperiksaan.
Suriana Mohammad Salleh, 21, yang memberi keterangan pada hari pertama perbicaraan di hadapan Hakim Leonard David Shim berkata, perkara itu berlaku pada 2017 ketika beliau berada di kelas Tingkatan 4 Sains Sukan sekolah berkenaan, selepas cikgu terbabit Mohd Jainal Jamran (defendan pertama) sering tidak masuk ke kelas mereka untuk mengajar.
Katanya, beliau dan rakannya Nur Natasha telah menemui seorang guru, Cikgu Norhana, untuk membuat aduan selepas Jainal begitu lama gagal masuk ke kelas untuk mengajar mereka, namun tiada tindakan diambil.
“Saya letakkan buku kawalan kelas di meja Cikgu Norhana supaya dia boleh melihat bukti Cikgu JJ (defendan pertama) tidak masuk mengajar kelas kami dan telah membocorkan soalan peperiksaan mata pelajaran bahasa Inggeris,” katanya menerusi kenyataan saksi.
Suriana adalah bekas rakan sekelas kepada tiga plaintif, Rusiah Sabdarin, Nur Natasha Allisya Hamali, dan Calvina Angayung yang memfailkan saman kerana mendakwa Jainal gagal mengajar mereka dalam kelas bahasa Inggeris antara Mac hingga November 2017.
Turut dinamakan sebagai defendan, pengetua SMK Taun Gusi ketika itu Suid Hanapi, ketua pengarah pendidikan, menteri pendidikan dan kerajaan.
Terdahulu, saksi pertama Nurul Afirah Zainal Abidin, 20, yang juga bekas pelajar kelas sama memberitahu mahkamah bahawa “Mr JJ” merupakan guru yang mengajar subjek bahasa Inggeris.
“Saya ingat, pada masa-masa dia masuk kelas kami, Mr JJ tidak mesra dan selalu marah-marah. Saya dapat bandingkan kelakuan dia (dalam kelas 4 Sains Sukan) dan dengan kelas lain, contohnya kelas 4 Prinsip Akaun yang bersebelahan dengan kelas kami. Dengan kelas lain dia lebih mesra.
“Saya ingat ada sekali saya dan rakan sekelas pergi panggil dia untuk masuk kelas mengajar, tapi pada masa itu dia cakap dengan kami dia ada hal dan… tidak masuk kelas kami,” katanya menerusi kenyataan saksi.
Nurul Afirah berkata, beliau dan rakannya pernah mengadu kepada dua guru lain berhubung perkara itu, namun dinasihatkan supaya membiarkannya saja kerana guru terbabit tidak mahu masuk campur dalam hal “Mr JJ”.
Perbicaraan ditangguhkan sehingga 23 September depan dengan beberapa lagi saksi dijangka memberi keterangan bagi pihak plaintif.
Ketiga-tiga plantif diwakili peguam Roxana Jamaludin, Shiren Sikayun, Jubili Anilik dan Dominic J Omok manakala defendan diwakil Peguam Kanan Persekutuan Mohd Hafizi Abdul Halim dan Fazriel Fardiansyah Abdul Kadir.