Kuala Lumpur: Anggota kumpulan UBI iaitu Namie tampil menjelaskan sudah meninggalkan profesion sebagai guru sejak Mac lalu.
Namie, 26, atau nama sebenarnya Najmi Shaharudin berkata, dia terpaksa merahsiakan perkara ini bagi memberi tumpuan terhadap penyertaannya dalam Muzikal Lawak Superstar musim ke-3 (MLS3).
"Saya nak kejar cita-cita bekerja dalam industri. Saya tolak tepi kata-kata orang. Tohmahan yang kata saya tak sayang pencen dan macam-macam lagi.
"Tapi saya bukan berhenti kerja sebab nak masuk MLS kerana keputusan itu dibuat sejak Mac lagi. Cuma saya minta maaf kena buat begini kerana tak nak mental dan privasi terganggu.
"Saya menipu untuk kebaikan saya dan keluarga saya. Memang saya tunggu umumkan sekarang kerana inilah waktu yang paling sesuai," katanya pada sidang media selepas pentas akhir MLS3 malam tadi.
Namie yang ditemui berkata, sejak kecil lagi dia sudah menyimpan cita-cita bergelar selebriti.
"Ia bukan cita-cita yang main-main serta angan-angan. Tahap keinginan saya apabila pandang seseorang dalam TV dan cakap seorang diri nak jadi macam dia.
"Perjalanan saya Tuhan dah tentukan. Proses berhenti kerja pun langsung tak menyusahkan atau memeningkan saya.
"Sejujurnya ada dua orang kementerian datang secara individu berjumpa saya dan tanya.
"Saya kongsi pendapat dan perasaan saya, kata kalaulah satu hari nanti saya mencemarkan imej guru, profesionalisme perguruan, adakah mereka suka pada waktu itu,"? katanya.
Mereka akhirnya menghormati keputusan Namie kerana semasa masih bergelar guru, dia sudah aktif dalam media sosial.
"Ada sesetengah konten walaupun bukanlah negatif, saya tak nak ia mencalar imej sebagai guru," katanya.
Kemenangan kumpulan UBI yang dianggotai oleh Namie bersama Fad Bocey dan Sharif Zero menyaksikan mereka membawa pulang hadiah wang tunai RM150,000 beserta trofi.