Bajet 2023 | Beri keutamaan bentuk kurikulum baharu sektor pendidikan - Pensyarah


PETALING JAYA: Kerajaan diharapkan memberi keutamaan kepada usaha pembentukan kurikulum baharu dalam pembentangan Belanjawan 2023 yang dijadualkan pada 7 Oktober ini. 

Pensyarah Pusat Kajian Kepelbagaian Pendidikan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr. Anuar Ahmad berkata, sistem pendidikan negara ketika ini tidak boleh lagi bergantung kepada kurikulum sedia ada yang sudah wujud sejak 20 tahun lalu. 

Anuar berkata, kurikulum sedia ada ketika ini sudah disemak banyak kali termasuk dibuat tempelan untuk penambahbaikan namun,, usaha itu tidak memberi impak kepada keperluan anak-anak dalam gaya hidup, pemikiran masa hadapan dan hidup bersama komuniti. 

“Selain itu, Belanjawan 2023 juga perlu memberi fokus kepada pembentukan sekolah yang inklusif, adil dan selamat untuk semua anak-anak. Isu sekolah daif, padat dan kurang murid perlu diberikan peruntukan khusus. 

“Kita mahu lihat sekolah baharu dibina di sekolah yang padat dengan bilangan murid serta selesaikan isu berkenaan sekolah yang memiliki kurang murid. Ada sekolah yang ada empat hingga 10 orang murid dan ada bilangan guru lebih daripada jumlah murid. 

“Ini bukan sahaja menyebabkan sumber manusia guru tidak digunakan secara optimum malah, amalan pendidikan juga berlangsung tidak begitu baik sebab kumpulan murid terlalu kecil,” katanya dalam video di laman Facebooknya semalam. 

Menurut Anuar, Belanjawan 2023 untuk sektor pendidikan juga perlu memberi perhatian kepada usaha untuk meningkatkan kemahiran guru terutamanya dalam aspek pengajaran dan pembelajaran (PdP) yang menggunakan teknologi. 

“Kerajaan perlu sediakan peruntukan untuk melatih dan meningkatkan kemahiran guru dalam suasana baharu kerana ada murid yang terdedah kepada pembelajaran secara hibrid. Guru-guru senior perlu ada persediaan untuk ajar anak-anak muda yang mahir dalam teknologi. 

“Belanjawan 2023 juga harus disediakan untuk pendidikan digital iaitu lebih kepada penyediaan prasarana digital seperti penyediaan makmal, kemudahan capaian internet yang laju, skim bantuan gajet dan bahan bantuan pembelajaran yang lain,” katanya. 

Dalam pada itu katanya, kerajaan juga perlu memastikan kecekapan tadbir urus dalam agihan Belanjawan 2023 untuk sektor pendidikan agar dapat digunakan secara berhemah dan berintegriti. 

“Ini bagi memastikan peruntukan yang disalurkan dapat digunakan untuk majukan sistem pendidikan negara selain memastikan anak-anak berbilang bangsa dan kaum di Malaysia dapat manfaat terbaik,” katanya. 

Sumber - UTUSAN

 

Previous Post Next Post