Foto ihsan Bomba |
SUNGAI PETANI - Seorang kanak-kanak perempuan patah tangan manakala 15 lagi rakannya yang berusia antara 7 hingga 12 tahun cedera ringan apabila van sekolah yang dinaiki terbalik dekat Padang Temusu, Tikam Batu, pagi Selasa.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Tikam Batu, Penolong Penguasa Bomba Muhamad Syukri Hashim berkata, pemandu van berusia 50-an cedera ringan di bahagian kepala.
Menurutnya, maklumat awal mendapati, kemalangan jam 7.40 pagi itu melibatkan sebuah van sekolah yang dalam perjalanan menghantar pelajar ke sekolah telah terbabas ke dalam parit di bahu jalan.
"Apabila sampai di lokasi, terdapat sebuah van sekolah terbalik dan 17 mangsa yang terdiri daripada 10 kanak-kanak lelaki dan enam perempuan serta seorang pemandu van.
"Tiada yang tersepit dalam van berkenaan dan semua mangsa telah diberikan rawatan awal sebelum dihantar ke Hospital Sultan Abdul Halim, Sungai Petani untuk rawatan ·lanjut,” katanya.
Sumber: Sinar Harian