Nurhayati (tiga dari kanan) menyampaikan cenderamata daripada #RasuahBusters kepada Abdul Wahab ketika kunjungan hormat ke Pejabat Mara Terengganu, pada Ahad. - Sinar Harian |
KUALA TERENGGANU - Tayangan video pendek anti rasuah ketika perhimpunan di sekolah perlu diperluaskan sebagai inisiatif memupuk kesedaran dalam kalangan pelajar terhadap bahaya dan kesan jenayah itu.
Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Sinar Untuk Malaysia (#RasuahBusters), Nurhayati Nordin berkata, ia merupakan medium yang sesuai untuk mencetus pemikiran pendidik di samping memupuk kesedaran murid.
"Bagi memastikan mesej yang ingin disampaikan dihayati, kempen anti rasuah tidak terhad melalui ceramah, sebaliknya kaedah penyampaian kreatif seperti tayangan video menjadi medium yang sesuai dengan minat kanak-kanak serta remaja masa kini.
"Pihak #RasuahBusters sendiri telah menghasilkan video pendek antaranya Mak Kata Jangan dan Merdekakan Kami Daripada Rasuah yang berpotensi menarik perhatian golongan pelajar.
"Kita sarankan video tersebut dapat digunakan secara lebih meluas di sekolah-sekolah," katanya ketika ditemui media selepas mengadakan kunjungan hormat ke Pejabat Majlis Amanah Rakyat (Mara) Terengganu, disini, pada Ahad.
Kunjungan hormat kru #RasuahBusters itu disambut oleh Pengarah Mara Terengganu, Abdul Wahab Mustaffa.
Nurhayati (tengah) bersama pihak Mara memegang plakad #RasuahBusters sebagai simbolik sokongan terhadap usaha membanteras aktiviti rasuah. - Sinar Harian |
Menurut Nurhayati, selain ditayangkan di media sosial, video kempen anti rasuah yang dihasilkan telah ditayangkan dibeberapa lokasi tumpuan awam antaranya Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) bagi memupuk kesedaran ramai terhadap bahaya rasuah.
"Kita harap video sedia ada ini dapat kita dijadikan alat untuk memberi penerangan lanjut kepada pelajar terutama anak-anak kita di luar sana supaya mempunyai satu bentuk pemikiran yang kritis sekaligus membantu menangani isu integriti di peringkat rendah.
"ia juga sebagai satu bentuk 'awareness' pertama yang dapat dilihat anak-anak dan perlu diikuti dengan program-program lain," katanya.
Dalam pada itu, mengulas mengenai pertemuan bersama Mara Terengganu, Nurhayati berkata, ia merupakan langkah bagi mengoptimumkan lagi usaha-usaha membanteras rasuah dan membangunkan integriti dalam kalangan pengurusan dan pelajar.
"Saya percaya kerjasama berterusan bersama Mara Terengganu akan membawa satu perubahan luar biasa terutama kepada generasi muda di negeri ini.
"Kita akan lihat anak-anak kita, belia dan pelajar akan mampu membangunkan sebuah negeri dan negara Malaysia tanpa rasuah dengan misi membangunkan #nilaimoralkarakterbangsa," katanya.
Sumber asal - Sinar Harian