Suspek tangkapan tidak libatkan kes culik murid

Tangkapan suspek yang ditularkan di aplikasi WhatsApp bukan berkaitan kes culik pelajar sekolah, sebaliknya berkaitan kes pecah rumah. - Gambar tular


KOTA MARUDU - Polis mengesahkan bahawa video berserta kenyataan yang tular berhubung kejadian tangkapan membabitkan suspek kes culik murid sekolah di Kota Marudu dan Pitas adalah palsu. 

Ketua Polis Daerah Kota Marudu, Superintendan Zairolnizal Ishak berkata, video dan kenyataan yang tular mengenai perkara itu adalah berkaitan kes lain yang berlaku di sebuah kampung pada minggu lalu. 

"Polis terkesan dengan beberapa pesanan ringkas yang tular melalui aplikasi WhatsApp yang mendakwa seorang lelaki yang mahu menculik murid sekolah di sekitar daerah ini dan Pitas telah ditangkap oleh polis dan turut juga ditularkan ialah satu rakaman video berdurasi 23 saat yang dikatakan merujuk kepada penculik tersebut. 

"Pihak polis ingin mengesahkan bahawa perkara yang ditularkan adalah tidak benar sama sekali," katanya dalam kenyataan pada Isnin. 

Katanya lagi, video yang ditularkan adalah dirakam oleh orang awam ketika polis melakukan tangkapan terhadap seorang lelaki yang juga suspek kerana menceroboh di kawasan pekarangan sebuah rumah di Kampung Marak Parak pada 11 Ogos lalu. 

"Kes ini masih dalam siasatan dan suspek telah direman di bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah. 

"Sehubungan itu, pihak polis ingin menasihatkan supaya orang ramai menghentikan penyebaran mesej dan video itu kerana ia berita yang tidak benar serta boleh menimbulkan kegusaran kepada awam," katanya.

Sumber: Sinar Harian

Previous Post Next Post