Sistem baharu akan ringankan beban guru - Dr Radzi



PUTRAJAYA: Pembangunan sistem pelaporan berpusat bagi tujuan merekod markah pentaksiran pelajar sekolah ialah antara elemen transformasi pendidikan yang bakal diperkenalkan Kementerian Pendidikan (KPM), kata Menteri Pendidikan Radzi Jidin. 

Selain mengurangkan beban guru merekod markah berulang kali, sistem itu turut bertujuan meningkatkan kecekapan sistem KPM agar relevan dengan transformasi digital pada masa ini. 

Beliau berkata, ketika ini, guru dikehendaki menyalurkan rekod markah pelajar kepada pelbagai pihak termasuk KPM dan pejabat pendidikan daerah (PPD). 

“Dengan adanya sistem pelaporan berpusat ini, pihak lain yang mahukan rekod markah boleh ‘mengekstrak’ data daripadanya. Begitu juga dengan pembinaan jadual waktu sekolah, difahamkan masih ada sekolah yang buat secara manual. 

“Jadi KPM akan mewujudkan satu sistem khusus bagi membolehkan pihak sekolah membina jadual waktu sekolah mengikut kesesuaian masing-masing,” katanya kepada pemberita ketika ditemui pada program Showcase Transformasi Pendidikan yang berlangsung sejak 12 Ogos sehingga hari ini di pusat beli-belah Alamanda di sini. 

Menurut Radzi, KPM komited dalam menjadikan ekosistem pendidikan negara yang terbaik selain memberikan fokus utama kepada kemenjadian murid secara menyeluruh tanpa bergantung kepada pencapaian akademik semata-mata. 

“Contohnya, baru-baru ini, (kami) bekerjasama dengan FGV Holdings Berhad membawa pelajar mendekati flora dan fauna agar mereka faham tentang perubahan iklim dan sebagainya,” katanya sambil menambah, transformasi pendidikan KPM meliputi kerjasama rentas agensi kerajaan dan swasta. 

Bagi mendekati masyarakat terutamanya golongan ibu bapa agar mereka faham tentang transformasi pendidikan dan dasar KPM, Radzi berkata KPM juga akan mengadakan Hari Terbuka PPD di 142 lokasi seluruh negara pada 26 dan 27 Ogos. 

Radzi berkata, KPM menerusi sesi perbincangan dan libat urus dengan lebih 20,000 orang termasuk pemimpin masyarakat sehingga kini turut menerima maklum balas positif berkaitan transformasi pendidikan yang giat diaplikasikan. 

Antara inisiatif KPM mengorak langkah ke depan dalam transformasi pendidikan meliputi pemansuhan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3) bagi memastikan Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) dapat dilaksanakan dengan berkesan selain menjaga kebajikan guru dengan memudahcara urusan permohonan pertukaran guru. 

Showcase Transformasi Pendidikan ialah satu daripada pengisian KPM bawah program “Bersama Semarakkan Transformasi Pendidikan” yang diadakan bermula 1 Ogos hingga 30 Sept di seluruh negara. 

Program tersebut antara lainnya memaparkan inovasi dan pencapaian murid dan guru, perkembangan pendidikan digital dan aplikasi sistem yang memudahkan pengurusan pendidikan.

 

Previous Post Next Post