Dr Anuar Ahmad |
"Ramai antara kita yang tidak tahu atau sudah terlupa mengapa UPSR diperkenalkan. Biar saya segarkan semula ingatan kita bersama," katanya.
Beliau mengimbas kembali ketika UPSR diperkenalkan pada tahun 1988 untuk mengantikan Penilaian Darjah Lima yang didapati terlalu 'exam oriented'.
"Ketika pelaksanaan Penilaian Darjah Lima, seluruh sistem pendidikan rendah hanya untuk mengejar keputusan 5A. Ibu bapa berlumba-lumba supaya anak-anak mereka dapat 5A.
"Ketika itu, memang ramai anak-anak darjah lima (umur 10 tahun) yang pergi ke kelas tuisyen. Sekolah juga anjur berbagai bengkel latih tubi dan bersiap sedia dengan berbagai soalan ramalan," jelasnya.
Menurut beliau pada ketika itu penilaian darjah lima telah digunakan sebagai kelayakan untuk ke tingkatan satu ke asrama penuh dan asrama harian.
"Bila masuk darjah enam, murid 'honeymoon' setahun. Tak belajar sangat.
"Saya masih ingat, semakin hari 'gila 5A' semakin teruk. Akhirnya KPM mengambil keputusan menukarkan konsep penilaian darjah lima kepada UPSR di darjah enam sesuai dengan pelaksanaan KBSR yang telah dimulakan pada tahun 1983," katanya lagi.
UPSR, sesuai dengan namanya adalah satu saringan 'ujian pencapaian'. Pada awal pelaksanaannya, UPSR adalah untuk mengukur tahap pencapaian murid-murid katanya lagi.
Pada ketika menurutnya, UPSR bukan peperiksaan yang bertujuan mengenal pasti murid-murid cemerlang tetapi hanyalah satu ujian 'saringan' untuk mengenal pasti tahap pencapaian 3M murid-murid selepas enam tahun belajar di sekolah rendah.
"UPSR bertujuan untuk mengetahui bolehkah murid-murid membaca, menulis dan mengira dengan baik? Itu sahaja.
"Tetapi lama kelamaan, UPSR kena 'hijack' dan kembali menjadi seperti amalan Penilaian Darjah Lima.
"Siapa yang 'hijack'? Anda tentu boleh teka sendiri. Tentulah bukan pakcik tukang kebun sekolah atau mak cik kantin sekolah," kata beliau.
Menurut beliau terdapat pihak lain yang mempunyai kepentingan apabila ramai murid-murid di sekolah, daerah atau negeri mereka yang dapat banyak A dalam UPSR, ianya oleh diwar-warkan sebagai kejayaan besar mereka.
"Akhirnya UPSR yang sepatutnya baik konsepnya telah berubah menjadi seperti Penilaian Darjah Lima yang telah dimansuhkan pada tahun 1988. UPSR kembali menjadi exam oriented
"Ia berterusan. Sehingga ditambah-tambahkan dalam UPSR itu menjadi lebih sukar dan kompleks. Misalnya, Bahasa Inggeris telah dipecahkan kepada dua kertas peperiksaan," jelasnya lagi.
Kegilaan itu telah menyebabkan anak-anak menjadi tertekan, murung dan tidak seronok lagi untuk belajar. Guru-guru juga menjadi tertekan. Ibu bapa juga begitu. Latih tubi jadi keutamaan pembelajaran. Soalan ramalan menjadi satu yang diamalkan secara meluas sambungnya lagi.
"Hakikatnya bukan salah UPSR. Salahnya pada pihak yang datang kemudian 'menambah-nambah' kepada UPSR. Sampailah plakad keputusan UPSR menjadi budaya sekolah semasa keputusan UPSR diumumkan, (sepatutnya UPSR tidak perlu pengumuman).
"Hari ini, kerana tidak mahu anak-anak tertekan, KPM telah mansuhkan UPSR. Sebenarnya bukan UPSR yang gagal atau salah. Tetapi pihak yang 'hijack' dan menunggang UPSR itulah yang bersalah," kata beliau.
Beliau berpendapat jika UPSR benar-benar dilaksanakan sebagai satu ujian 'saringan', semata-mata yang mengukur tahap pencapaian murid dan tidak digunakan oleh mana -mana pihak untuk membandingkan pencapaian murid-murid, prestasi guru dan sekolah, UPSR adalah kaedah pentaksiran yang baik untuk murid-murid sekolah rendah.
"Sekurang kurangnya dengan UPSR, kita akan tahu apakah tahap pencapaian minima murid sebelum mereka melangkah ke sekolah menengah.
"Jadi, kita telah mansuhkan UPSR tetapi sebenarnya bukan salah UPSR pun. Ibarat bila marahkan nyamuk, kita bakar kelambu. Sepatutnya orang yang tak tutup pintu kelambu itu yang patutnya dipersalahkan.
"Hari ini kita telah kenalkan PBD yang rigid dengan pelbagai pelaporan. Kalau kena 'hijack' lagi, apakah kita akan mansuhkan PBD juga?" tanya beliau lagi.
Beliau mengingatkan juga selain PBD, terdapat juga peperiksaan akhir tahun (Ujian Akhir Semester).
Beliau mempersoalkan adakah masyarakat yakin anak-anak akan seronok dan tidak akan tertekan dengan amalan pentaksiran yang baru ini.