KUALA LUMPUR: Pendigitalan pendidikan perlu dilaksanakan ke arah mencapai status negara maju, namun Kementerian Pendidikan (KPM) perlu berhati-hati supaya jurang pendidikan antara sekolah di bandar dan luar bandar tidak semakin luas.
Selain itu, Pensyarah Kanan Pusat Kajian Kepelbagaian Pendidikan, Fakulti Pendidikan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr Anuar Ahmad, berkata KPM juga perlu memastikan budaya pembelajaran baharu diperkenalkan dalam kalangan guru dan murid, seiring inisiatif pendigitalan berkenaan.
Anuar berkata, Malaysia agak terkebelakang dari segi pendigitalan pendidikan berbanding negara lain seperti Singapura, justeru langkah itu perlu dimulakan dari sekarang supaya pelajar di negara ini tidak ketinggalan.
"Bagaimanapun, kita tahu apa juga bentuk pembangunan pendigitalan pendidikan di negara yang sudah melaksanakannya, akan berlaku pembentukan jurang pendidikan antara kumpulan pelajar yang mendapat pendidikan digital dengan kumpulan tidak memperolehnya.
"Ini bermakna, jika kita tidak berhati-hati dan memantau perjalanan pendigitalan pendidikan ini, kita akan melihat sekumpulan murid yang menerima kemudahan pendigitalan akan memperoleh peluang inovasi dan lebih pengetahuan, manakala sekumpulan murid lagi di terutama luar bandar pula sebaliknya, yang akhirnya menyebabkan jurang pendidikan semakin besar.
"Sebenarnya jurang sudah ada, namun dengan kemasukan internet dan pendigitalan pendidikan, jika tidak berhati-hati, ia akan lebih membesar kerana kemajuan pembelajaran digital membuka ruang pengetahuan, kemahiran dan pengalaman lebih luas kepada murid yang mendapat akses," katanya kepada BH, hari ini.
Ahad lalu, Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin, berkata KPM akan melaksanakan projek rintis membabitkan 550 kelas hibrid di 110 sekolah terpilih di seluruh negara bermula November depan, sebagai sebahagian pelan transformasi KPM bagi memperkasa pendidikan digital negara.
Bagi tujuan itu, katanya, untuk setiap lima bilik darjah di sekolah terbabit, sambungan internet akan ditingkatkan untuk pelaksanaan Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) secara hidbrid, membolehkan guru mengajar dalam bilik darjah dan pada masa sama, murid boleh terbabit dalam proses itu dengan aktif menerusi penggunaan komputer riba dan skrin pintar dalam kelas.
Selain itu, Anuar berkata, pendidikan digital yang bersifat terbuka akan dilengkapi prasarana seperti internet dan televisyen digital, namun ia tidak berhasil jika budaya pembelajaran tradisional masih terus dipraktikkan.
"Kita tidak perlukan lagi buku teks kerana internet membolehkan kita mengakses banyak maklumat. Kita tidak perlu guru mengajar macam dulu, sebaliknya guru memberi panduan atau memudahkan murid mencari bahan pembelajaran di internet.
"Justeru, jika kita perkenalkan pembelajaran digital dalam sistem pendidikan, tetapi budaya pembelajaran masih lama, ia tidak memberi manfaat besar kepada murid sedangkan pelaksanaannya akan membabitkan perbelanjaan amat besar.
"Perkara ini harus diteliti KPM supaya kita tidak mengulangi kesilapan dan kekurangan di negara lain yang melaksanakan pendidikan digital ini," katanya.