PUTRAJAYA: Kementerian Pendidikan (KPM) sudah mengadakan sesi libat urus dan pertemuan dengan lebih 20,000 individu, membabitkan ibu bapa, guru dan pemimpin masyarakat dalam proses melaksanakan transformasi pendidikan.
Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin, berkata sesi pertemuan bukan saja untuk mendapatkan pandangan dan maklum balas, tapi juga untuk memastikan masyarakat memahami transformasi yang sudah, sedang dan akan dilaksanakan.
Beliau berkata, sesi pertemuan itu akan berterusan, khususnya sepanjang bulan ini dan bulan depan, antaranya menerusi Hari Terbuka Pejabat Pendidikan Daerah (PPD), yang akan dilaksanakan di seluruh negara dalam masa terdekat.
"Kita akan terus laksanakan sesi perbincangan dan libat urus ini kerana yang penting adalah mesej kita betul-betul sampai dan difahami semua pihak.
"Bila kita jelaskan kepada ibu bapa dengan lebih mendalam mengenai transformasi yang kita lakukan, contohnya pemansuhan peperiksaan, masing-masing memberi pandangan yang amat positif dan yakin kita di landasan yang tepat.
"Dalam tempoh terdekat ini, kita juga akan adakan Hari Terbuka PPD bagi membolehkan masyarakat hadir ke PPD untuk melihat dasar dan transformasi kita. Jika ada sebarang isu yang ingin diselesaikan, kita pastikan ada pegawai di PPD untuk membantu," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media Showcase Transformasi Pendidikan, di sini, hari ini.
Showcase Transformasi Pendidikan, yang berlangsung selama tiga hari bermula semalam, adalah sebahagian daripada pengisian dalam program 'Bersama Semarakkan Transformasi Pendidikan'.
Program itu bertujuan memaparkan inovasi dan pencapaian murid serta guru, selain perkembangan pendidikan digital dan aplikasi sistem, hasil transformasi pendidikan yang sudah dilaksanakan sejak dua tahun lalu.
Mengulas hasil transformasi pendidikan sejak menjadi Menteri Kanan Pendidikan, Radzi memaklumkan, pemansuhan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) dijangka meningkatkan tumpuan dalam proses kemenjadian murid.
Langkah itu juga, katanya, disasar mewujudkan suasana dalam kelas yang menyeronokkan kerana tekanan peperiksaan sudah tiada, selain membolehkan guru berinovasi dalam dalam pedagogi.
Beliau juga memberi tumpuan pada aspek kebajikan guru dan sedang mewujudkan beberapa sistem pengurusan bagi mengatasi beberapa isu yang dibangkitkan guru, selain menambah baik garis panduan pertukaran guru.
"Contohnya, isu pertukaran guru yang selama ini menggunakan garis panduan yang dikeluarkan pada 1975. Kita buat pendekatan baharu supaya guru boleh mohon pada bila-bila masa dan pertukaran dibuat empat kali setahun, berbanding hanya dua kali setahun sebelum ini.
"Dalam isu beban guru, kita dapati puncanya adalah sistem tidak cekap menyebabkan guru terpaksa masukkan markah pentaksiran bilik darjah yang sama berulang-ulang sehingga empat, lima kali.
"Jadi, kementerian akan bangunkan satu sistem pelaporan berpusat, yang mana hanya sekali saja masuk dan pihak sekolah, PPD, Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) dan kementerian boleh akses sistem itu," katanya.
Namun beliau berkata, kejayaan transformasi pendidikan bergantung pada sokongan semua pihak untuk memastikan pendidikan Malaysia menjadi lebih baik.