KPM sudah terima 19 aduan buli di sekolah

Putrajaya: Kementerian Pendidikan sudah menerima 19 aduan berkaitan buli sejak portal Aduan Buli dilancarkan, Khamis lalu.

Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin berkata, semua aduan itu sedang diteliti sebelum sebarang tindakan dapat diambil.

"Menerusi portal ini, kita ada tiga platform untuk membuat aduan, iaitu menerusi Sistem Pengurusan Aduan Awam (SISPA) kita terima sebanyak 16 aduan, manakala tiada aduan diterima menerusi emel.

"Selain itu sejumlah lima panggilan telefon diterima namun kesemuanya bertanyakan berkaitan portal berkenaan dan platform terakhir adalah menerusi aplikasi WhatsApp iaitu terdapat 10 pertanyaan berkaitan portal dengan tiga lagi adalah aduan buli," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Pelancaran Platform Pembelajaran Digital atau Digital Educational Learning Initiative Malaysia (DELIMa) di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Putrajaya Presint 8 (1), di sini hari ini.

Ditanya maklumat lanjut berhubung aduan buli itu, Radzi berkata, pihaknya masih menelitinya.

"Apa yang penting, apabila kita terima aduan itu kita akan buat penelitian yang mendalam untuk ambil tindakan sewajarnya kerana bagi kementerian, sama ada kes itu berlaku di luar bandar atau bandar, di sekolah asrama atau tidak, semuanya kita akan buat penelitian.

"Kita tidak mahu anak tirikan mana-mana sekolah. Paling penting maklumat (aduan) itu sampai pada kementerian secepat mungkin untuk kita tangani kes berkenaan," katanya.

Portal aduan buli dilancarkan minggu lalu, bagi membolehkan aduan mengenai kes buli di sekolah dilaporkan secara terus kepada KPM.

Ia boleh diakses menerusi portal https://www.moe.gov.my/aduanbuli.

Dalam pada itu, mengenai portal DELIMa, Radzi berkata, portal yang diperkenalkan sejak 2019 itu kini dibuat beberapa penambahbaikan yang membolehkan pembelajaran secara personalisasi digunakan murid dan guru.

Previous Post Next Post