KAMPAR – Kementerian Pendidikan (KPM) akan memperhalusi tindakan untuk membendung tingkah laku guru yang tidak wajar dipertontonkan dalam media sosial di negara ini lapor Kosmo! Online.
Timbalan Menteri Pendidikan 1, Datuk Dr. Mah Hang Soon berkata, pihaknya akan membuat kajian berkenaan video-video yang tular di laman sosial terutamanya yang melibatkan guru.
“Kami akan selidik video-video yang tular melibatkan guru-guru di bawah KPM, setelah memperhalusi video-video tersebut, barulah boleh mengambil tindakan yang sewajarnya.
“Pelbagai usaha akan sentiasa kita lakukan bagi memastikan kebaikan terhadap pelajar,” katanya kepada pemberita selepas hadir merasmikan Sambutan Ulang Tahun Ke-20 Universiti Tunku Abdul Rahman melancarkan Bamboo Pavilion di sini hari ini.
Kosmo! Online turut melaporkan, Hang Soon dipetik sebagai berkata, guru juga mestilah menggunakan platform tersebut dengan baik sehingga tidak menjatuhkan imej KPM.
“Dalam era sosial media ini, apa yang disampaikan akan menjadi tatapan khalyak ramai. Kadang kala, mungkin mereka (guru) tidak sedar video tersebut akan tular dan mendapat perhatian umum.
“Saya ingin menasihatkan guru supaya berhati-hati dalam memuat naik video dalam sosial media, gunakan media sosial ini dengan baik untuk menyampaikan maklumat yang bermanfaat serta menjadi contoh teladan yang baik kepada pelajar dan masyarakat,” katanya.