Imej hiasan |
KUALA LUMPUR - Isu keciciran Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) membabitkan seramai 75,455 calon dalam peperiksaan itu baru-baru ini dikhuatiri akan menjadi budaya dalam kalangan pelajar jika tidak ditangani segera.
Portal GETARAN melaporkan Pengarah Pusat Penyelidikan Pedagogi dan Inovasi (CPRI), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Profesor Dr Abdul Rasid Jamian dipetik sebagai berkata, perbuatan yang lazim dilakukan sehingga membentuk suatu kebiasaan akhirnya akan menjadi satu budaya dalam masyarakat.
“Maka inilah yang berlaku apabila pandemik COVID-19 melanda negara, yang menyaksikan pelajar belajar secara atas talian selama lebih kurang dua tahun.
“Sepanjang tempoh itu pelajar tak perlu hadir ke sekolah dan berlakulah apa disebut sebagai ‘zon selesa’. Tiada kawalan disiplin daripada pihak pengurusan sekolah mahupun ibu bapa,” katanya kepada portal tersebut.
Dr Abdul Rasid Jamian - Getaran |
Malah beliau percaya sepanjang Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) berlangsung, terdapat pelajar terutamanya calon SPM bekerja sebagai penghantar makanan yang menjanjikan pendapatan lumayan lapor portal tersebut lagi.
“Ada terpengaruh tengok kawan semasa pandemik bekerja sebagai rider GrabFood dan FoodPanda. Mereka mula merasai nikmat ada duit sendiri dalam tangan. Jadi mereka fikir kenapa perlu ambil SPM sedangkan sebulan boleh dapat RM2,000. Kalau rajin kerja dapatlah lebih sikit.
“Ada juga dalam kalangan mereka mendapat pendapatan lebih tinggi berbanding lepasan diploma dan ijazah sarjana muda. Jadi saya bimbang akan wujud trend mengatakan kalau tak ada pelajaran (SPM) sekalipun mereka tetap boleh hidup,” katanya.
Jelas Abd Rasid, pemikiran sedemikian boleh memberi kesan kepada negara dalam tempoh jangka masa panjang.
“Saya risau mengenai masa depan negara. Masyarakat kita tak ada ilmu nanti. Ilmu sangat penting. Kalau tak ada ilmu bagaimana kita nak mengangkat jati diri bangsa.
“Bila (cicir SPM) jadi budaya dalam pelajar, negara kita akan mundur. Kesannya boleh kita nampak dalam tempoh lima atau enam tahun akan datang. Ini amat membimbangkan,” katanya.
Semasa PdPR berlangsung, terdapat pelajar terutamanya calon SPM bekerja sebagai penghantar makanan yang menjanjikan pendapatan lumayan - Gambar hiasan |
Justeru, Abdul Rasid menggesa Kementerian Pendidikan (KPM) supaya meneliti atau mengkaji semula elemen yang perlu ditangani segera.
“Misalnya, kita lihat kapasiti kehendak remaja atau murid sekarang. Apa yang mereka mahu?
“Jadi KPM di peringkat sekolah manakala Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) bagi institusi pengajian tinggi (IPT), perlu mengkaji semula elemen dan aspek yang remaja atau murid mahukan. Itu perlu dilakukan segera,” katanya.
Beliau yang menyokong sepenuhnya pemansuhan peperiksan Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3) turut menggesa pelajar diberikan ruang untuk belajar secara holisitik.
“Biar SPM sahaja digunapakai untuk mereka membuat pilihan sama ada nak masuk bidang kerjaya ataupun meneruskan pengajian.
“Di situlah cabangnya dan di situlah kita kata bermulanya pergerakan peralihan dari sekolah ke peringkat lebih tinggi,” katanya.
GETARAN juga berkata Pensyarah Pusat Kajian Kesejahteraan dan Pendidikan Komuniti Fakulti Pendidikan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr Anuar Ahmad mengesyorkan agar Perkara 29A Akta Pendidikan 1996 disemak semula supaya pendidikan wajib dilanjutkan kepada 11 tahun berbanding enam ketika ini.
Katanya, langkah itu dapat melindungi hak anak-anak untuk mendapat pendidikan di sekolah menengah yang penting demi masa depan mereka.
Dr Anuar Ahmad |
“Setakat ini tiada akta atau undang-undang yang melindungi anak-anak ini untuk terus mendapat pendidikan di sekolah menengah.
“Akta Pendidikan di bawah Perkara 29A yang ada sekarang juga hanya mewajibkan pendidikan sekolah rendah selama enam tahun,” katanya.
Tegasnya, isu keciciran pelajar bukan sahaja disebabkan kegagalan sistem pendidikan membuat persiapan menangani masalah itu tetapi juga kurangnya kesedaran dalam kalangan ibu bapa mengenai kepentingan pelajaran.
“Sebab itulah, pindaan Akta Pendidikan 1996 Perkara 29A(c) supaya mewajibkan pendidikan 11 tahun mestilah dilakukan untuk menyelamatkan masa depan anak-anak kita,” katanya.
Pada masa sama, Anuar turut mempersoalkan cara kepimpinan pendidikan hari ini dalam menyelesaikan isu keciciran yang semakin membimbangkan lapor portal tersebut lagi.
“Jika pada 1972, Laporan Murad berjaya menguruskan keciciran pendidikan akibat kemiskinan mutlak, bagaimana pula dengan kepimpinan pendidikan sekarang menyelesaikan isu ini dalam persekitaran kemiskinan relatif?
“Setakat ini, saya belum nampak sebarang solusi menyakinkan untuk menguruskan isu keciciran pelajar. Belum lagi, kita masih menunggu solusi sebenar,” katanya.
Terdahulu, KPM mendedahkan seramai 70,455 calon dikategorikan sebagai cicir SPM, bermakna mereka tidak boleh melanjutkan pelajaran ke peringkat seterusnya.
Daripada jumlah itu, seramai 1,655 calon mencatatkan markah semua gred G.
Sementara itu, seramai 24,941 atau 6.2 peratus calon mendaftar tidak menduduki peperiksaan SPM.
Seramai 45,514 atau 11.91 peratus calon pula tidak layak mendapat sijil sama ada kerana tidak lulus mata pelajaran Bahasa Melayu atau Sejarah.