Jambatan gantung hanyut, murid pertaruh nyawa ke sekolah


Jambatan gantung dihanyutkan banjir tahun lalu menyebabkan kira-kira 30 murid dari Kampung Mangkabusu, Pitas, Sabah, terpaksa berulang alik menggunakan sebuah sampan kecil menyeberang Sungai Bengkoka untuk ke sekolah.

Situasi dilalui sejak lebih setengah tahun itu sekali gus menyebabkan sesi persekolahan murid Sekolah Kebangsaan (SK) Mandurian, Pitas, terganggu apabila mereka kerap tidak hadir ke sekolah jika paras air sungai meningkat dan deras.

Penduduk, Maratin Manjungkat, 40, berkata terpaksa berulang alik 12 kali sehari menggunakan sampan untuk menghantar dan mengambil murid berkenaan ketika pergi dan pulang dari sekolah.

“Saya bawa semua murid untuk menyeberang sungai itu dan sampan digunakan untuk menghantar mereka kecil saja. Sepatutnya sampan itu hanya mampu menampung empat kanak-kanak dalam satu-satu masa.

“Saya terpaksa berulang alik sebanyak enam kali setiap pagi dan enam kali lagi pada tengah hari untuk membawa murid-murid berkenaan secara bergilir-gilir kerana bimbang sampan melebihi muatan dan membahayakan mereka,” katanya menurut Sinar Harian.

Ditanya mengenai video tular sejak Rabu mengenai situasi dihadapi sekumpulan murid yang menyeberangi sungai itu, Maratin memaklumkan ia dirakam pada Isnin lalu oleh salah seorang penduduk.

“Sekarang adalah minggu murid sedang menghadapi peperiksaan. Jadi hari itu, saya terpaksa bawa mereka menyeberang walau apapun cara kerana bimbang mereka ketinggalan mengikuti peperiksaan.

Katanya, jika bukan waktu peperiksaan, semua murid termasuk anak lelakinya berada di Tahun 5 tidak dapat ke sekolah setiap hari.

“Bahaya untuk mereka menyeberang terutama ketika paras air sungai naik dan pernah berlaku kejadian lemas di sungai ini membabitkan kanak-kanak.

“Jadi ada beberapa hari mereka tidak akan dapat ke sekolah. Mujur guru di sekolah memahami keadaan kami dan kami akan maklumkan segera jika anak-anak tidak dapat ke sekolah,” katanya.

Sehubungan itu, Maratin berharap keadaan dihadapi murid dan penduduk di kampung terbabit mendapat perhatian.

 

Previous Post Next Post