Dakwaan PBS dilaksanakan tergesa-gesa tidak tepat - Radzi

KUALA LUMPUR, 1 Ogos - Dakwaan pelaksanaan Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) dibuat secara tergesa-gesa bagi menggantikan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) adalah tidak tepat, menurut Menteri Kanan Pendidikan Datuk Dr Radzi Jidin.

Beliau berkata PBS sebenarnya telah dilaksanakan lebih 10 tahun lepas bermula 2011 di peringkat sekolah rendah dan diperluaskan ke peringkat sekolah menengah setahun kemudian.

"Kita telah membuat sesi libat urus melibatkan ramai pihak, dalam konteks ini kita dapati dalam setiap keputusan nak dibuat, akan ada kekangan, sama ada kita nak tunggu situasi menjadi sempurna baru kita nak laksanakan, kita tak tahu bila," katanya.

Beliau menjawab soalan tambahan Natrah Ismail (PH-Sekijang) mengenai sama ada kerajaan bertindak secara tergesa-gesa bagi menggantikan UPSR dan PT3 dengan pelaksanaan PBS pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.

Menjelas lanjut beliau berkata pentaksiran yang bertujuan menilai aspek intelek, emosi, rohani, jasmani dan sosial murid itu adalah langkah melahirkan generasi baharu yang lebih kreatif dan terbuka.

Malah Radzi berkata sistem pendidikan di seluruh dunia kini cuba mengurangkan tumpuan kepada peperiksaan bagi tujuan melahirkan generasi lebih kreatif.

Beliau berkata pemerkasaan PBS adalah antara pendekatan Kementerian Pendidikan (KPM) untuk beralih daripada pembelajaran berorientasi peperiksaan kepada pembelajaran yang lebih menyeronokkan untuk murid.

Selain itu, KPM juga akan menambah baik dan memantapkan kaedah pelaporan Pentaksiran Bilik Darjah (PBD) dengan pencapaian murid dilaporkan secara menyeluruh sebanyak dua kali setahun iaitu pada pertengahan sesi akademik dan akhir sesi akademik menggunakan deskriptor tahap penguasaan yang komprehensif dan jelas.

Menurutnya pelaporan itu juga menilai tahap usaha murid dalam pembelajaran.

- BERNAMA

Previous Post Next Post